PERSONALITI media sosial popular, Maryam You Narae mengejutkan ramai apabila diumumkan sebagai salah seorang peserta Muzikal Lawak Superstar musim kelima (MLS5).
Maryam, 32, bakal bergandingan bersama pelakon Zulin Aziz dan Nasz Sally dalam kumpulan yang diberi nama Kimbab.
Kolaborasi tiga wanita ini pastinya mencuri perhatian kerana mereka satu-satunya trio peserta wanita yang bertanding pada musim kali ini.
Kumpulan Zulin, Nasz dan Maryam diberi nama Kimbab.
MLS5 kali ini bertemakan “Clash of Empire” dengan tagline Arena Pahlawak Terbahak Kau Kaw.
Kelainan musim baharu itu bukan sahaja menampilkan peserta sebagai penghibur, malah mereka akan muncul sebagai wira empayar agung yang diinspirasikan daripada kuasa legenda dunia seperti Rom, Nusantara, Jepun, China, Perancis dan lain-lain.
Menurut Ketua Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh, pihaknya mahu memberikan pengalaman menonton yang lebih segar dan menghiburkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Maryam dedah usia kandungan, dijangka kongsi tarikh lahir sama… Tiba-tiba suka makan nasi kandar
ARTIKEL BERKAITAN: Netizen dah muak pick-up line Bella Astillah dan Syed Saddiq... “YB pun macam malas nak layan”
“Muzikal Lawak Superstar bukan sekadar sebuah pertandingan lawak semata-mata, tetapi ia menjadi pentas penting yang menyambung legasi industri komedi dan hiburan tanah air.
“Program ini juga membuka ruang pencarian bakat lawak ‘unexpected’ daripada kalangan pelakon, penyanyi, influencer dan ramai lagi yang mungkin bukan daripada dunia komedi, namun mempunyai potensi luar biasa,” katanya pada sidang media yang berlangsung di Saloma Bistro, Kuala Lumpur pada Rabu.
MLS5 menampilkan 10 kumpulan yang setiap satunya terdiri daripada gabungan dua pelawak bersama seorang selebriti daripada pelbagai bidang termasuk lakonan, nyanyian dan media sosial.
Maryam serlahkan bakat dalam komedi.
Antara nama selebriti lain yang turut serta ialah Zahid AF, Naqiu Boboy, Ieda Moin, Aishah Azman, Aziz M. Osman, Farid Along, Joey Daud, Zulin Aziz dan Zul Huzaimy.
Manakala barisan pelawak yang menyertai pertandingan termasuklah Namie, Fad Bocey, Achey, Chiwan, Nizam Jentik-Jentik, Ammar Titans, Ali dan Mamak Puteh.
Barisan juri pula terdiri daripada Datuk Aznil Nawawi, Zizan Razak dan Bella Astillah.
MLS5 akan mula bersiaran pada 11 Oktober ini di saluran Astro Prima dan akan dikendalikan oleh Datuk AC Mizal sebagai pengacara.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube