suria

Zach X-Factor tak peduli pandangan orang, pilih jadi suri rumah sepenuh masa

Zack selesa jadi suami rumah tangga.

SUDAH lama tidak muncul di televisyen, pelakon dan penyanyi Zach X-Factor mengaku sibuk menggalas tanggungjawab menjadi suami rumah tangga.

Zach atau nama sebenarnya Zachery Francis Ubu, 48, berkata dia memilih untuk menjaga anak-anak di rumah selepas beberapa kejadian tidak diingini menimpa anaknya.

Jelasnya, keputusan itu dibuat supaya dapat merasai sendiri penat lelah menguruskan anak-anak dan melakukan kerja rumah.

Zach dan isterinya bersama anak sulung mereka.

"Isteri saya sangat sibuk, jadi saya terpaksa berkorban dengan menjadi suami rumah tangga sebab bila hantar anak ke pengasuh macam-macam yang berlaku.

"Ada lebam sana sini dan saya tak boleh terima itu. Jadi isteri saya cakap sama ada dia atau saya yang uruskan anak.

"Bila sudah buat keputusan saya akui bukan senang, kalau diberi pilihan lebih baik berkerja dan bukan mudah nak menjaga anak 24 jam," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] X-Factor 'jejak kasih' selepas 17 tahun tak jumpa, cari ahli hilang guna media sosial

ARTIKEL BERKAITAN: Zach (X-Factor) Rancang Kahwin Hujung Tahun

Berkongsi lebih lanjut, Zach mengakui keputusan tersebut bukan sesuatu yang mudah terutama dengan keadaan kewangan sekiranya isteri sahaja mencari nafkah.

Namun dia bersyukur apabila pekerjaan isterinya sebagai seorang tentera mampu menyediakan tempat tinggal dan kewangan dengan baik.

"Mula-mula memang berat nak buat keputusan sebab tak tahu perjalanannya macam mana, lebih-lebih lagi bila fikir keadaan kewangan tapi beruntungnya isteri saya tentera darat.

"Jari segi rumah saya tak kisah sebab boleh duduk dalam kem, dulu saya pun pernah duduk dalam kem sewaktu kecil jadi sudah biasa.

Banyak saja tawaran datang tapi saya terpaksa tolak.

ZACH

PENYANYI/PELAKON

"Saya memang tak peduli dengan pandangan orang sebab inilah peluang saya untuk menjaga anak," luahnya.

Sepanjang dua tahun bergelar suami rumah tangga, Zach mengakui dia menerima banyak tawaran berlakon namun terpaksa menolak kerana enggan menyusahkan ramai pihak.

"Banyak saja tawaran datang tapi saya terpaksa tolak. Pernah sekali saya terima 'job' tapi terpaksa berkejar-kejar nak ambil anak sekolah serta uruskan hal lain.  

"Memang menganggu jadual produksi dan saya tak nak membebankan orang lain," luahnya.

Zach bangga dapat lihat anak membesar depan mata.

Untuk info suami sebagai suri rumah boleh diistilahkan sebagai househusband atau stay-at-home-dads, di mana mereka mengambil alih tugas menguruskan rumah tangga, manakala isteri pula bekerja.

Zach mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan hati, Jennifer Carterina, pada 2013. 

Mereka mempunyai dua cahaya mata berusia 10 tahun dan dua tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain