suria

Kaki anak Linda Hashim melecur tahap tiga, tertumpah kuah makaroni panas

Anak Linda (kanan) mengalami luka melecur pada bahagian kaki kanan.

ANAK kepada pelakon Linda Hashim dan Beego mengalami luka melecur tahap tiga pada bahagian kaki kanan pada malam Sabtu dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). 

Linda atau Norhazlinda Hashim, 41, berkata, disebabkan luka yang agak dalam anaknya iaitu Anggun Cassandra memerlukan pembedahan tampal kulit, namun terpaksa ditangguhkan kerana masalah kesihatan yang dialami. 

"Luka melecur anak saya agak dalam juga, doktor mengesahkan luka lecuran itu di tahap ketiga. Sepatutnya anak saya perlu menjalani pembedahan tampal kulit tetapi keadaan kesihatannya tidak mengizinkan kerana mengalami batuk. 

"Jadi doktor tak boleh nak bagi bius, kita pantau saja untuk beberapa hari ini. Sekarang ini doktor hanya boleh cuci luka.  bila batuk dia dah okay sikit tengok keadaan macam mana, kalau luka masih tak okay memang akan jalani pembedahan juga," katanya ketika dihubungi mStar pada Selasa. 

Linda memohon doa orang ramai agar anaknya diberi kesembuhan.

Berkongsi bagaimana kejadian tersebut berlaku, Linda memberitahu anak sulungnya iaitu Jelita Clarissa secara tidak sengaja terjatuh ketika ingin mengambil mangkuk berisi kuah makaroni panas yang menyebabkan ia terpercik pada kaki Anggun. 

Susulan itu, Linda terus bergegas membawa Anggun ke klinik untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

"Sebenarnya kejadian berlaku apabila kakaknya (Jelita) nak ambil mangkuk sup macaroni tetapi dia terlanggar apa entah kemudian terjatuh. Jadi sup panas itu terkena dekat Anggun. 

"Itu apa yang kakaknya cerita dekat sayalah sebab pada waktu itu saya berada di dapur. Saya terus bawa Anggun ke klinik dan doktor meminta saya untuk membawanya terus ke hospital," ujarnya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Linda Hashim bawa anak-anak keluar makan, dakwa suami culas nafkah… “Mana bapanya?”

ARTIKEL BERKAITAN: Beri hanya bila diminta, nafkah tak cukup tanggung anak… Linda Hashim dakwa Beego kirim duit sekadar untuk bukti mahkamah

Dalam pada itu, Linda memberitahu dia kini menjadi penjaga utama kepada Anggun sepanjang tempoh rawatan di hospital. 

Menurutnya, prosedur di wad yang sangat ketat memerlukan penjagaan rapi bagi mengelakkan risiko jangkitan kuman.

"Buat masa ini memang saya sahaja yang menjaga Anggun kerana wad ini sangat ketat. Pesakit di wad ini dijaga rapi kerana kebersihan sangat diutamakan bagi mengelakkan sebarang jangkitan kuman. 

Luka melecur anak saya agak dalam juga, doktor mengesahkan luka lecuran itu di tahap ketiga.

LINDA HASHIM

PELAKON

"Jadi kalau Beego nak jaga pun kena tunggu seminggu dulu dan kemudian kami perlu bergilir-gilir. Saya juga tidak boleh menerima sebarang pelawat. 

Linda bagaimanapun turut memohon doa dan sokongan daripada orang ramai agar anaknya diberikan kesembuhan segera. 

"Saya sekarang ini cuma mengharapkan doa orang ramai. Saya minta mana-mana kenalan saya termasuk ustaz dan ustazah untuk mendoakan dan kalau boleh kongsikan ayat (al-Quran) apa yang saya boleh amalkan. 

Linda kini menjadi penjaga utama Anggun di hospital.

"Saya minta sangat orang ramai supaya mendoakan kesembuhan anak saya," katanya. 

Sebelum ini, Linda memuat naik sebuah hantaran di Instastory miliknya memohon doa agar Anggun diberikan kesembuhan selepas mengalami lecuran terkena air panas. 

Untuk rekod, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013.

Selain Anggun, pasangan selebriti ini turut dikurniakan dua orang lagi cahaya mata perempuan iaitu Jelita Clarissa, 11, dan Indah Camelia, 6 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain