suria

“Saya ada album” - Nourul Wahab tepis tanggapan ‘syok sendiri’ buat konsert, fokus mahu hiburkan peminat

Nourul tetap positif menjawab segala kritikan netizen di media sosial.

PENYANYI Nourul Wahab tampil menjawab kritikan netizen meragui keupayaannya mengajurkan konsert mini yang dirancang berlangsung pada 26 April 2026.

Tidak terus melenting dengan kenyataan tersebut, Nourul atau Noorulhuda Abdul Wahab, 47, dengan tenang turut menghargai keprihatinan serta kerisauan individu terbabit. 

Kongsi Nourul, individu itu bukanlah dalam kalangan peminatnya kerana tidak mengetahui bahawa dia sudah mempunyai beberapa buah album sebelum melancarkan lagu duet. 

"Terima kasih kerana risau, puan pun tak ikuti saya (di TikTok) bermaksud puan tak minat saya. Jadi tak mengapa puan. Saya fokus pada yang suka dan minat lagu-lagu saya. 

Antara reaksi netizen yang diterima di TikTok miliknya.

"Terima kasih tolong risaukan. Takut-takut itu takkan buat kita maju. Saya ada beberapa album sebelum duet. Alhamdulillah ada dua atau tiga lagu orang tahu. 

"Puan tahu masa lagu duet saja, jadi puan 'mahzab' lain. Terima kasih," katanya. 

Nourul berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di TikTok miliknya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Nourul Wahab rasa bersalah terlalu fokus konflik anak sulung sampai lupa nikmat lain perlukan perhatian

ARTIKEL BERKAITAN: Anggap anak macam kawan kesilapan Nourul Wahab, ibu bapa kena letak batas

Dalam pada itu, Nourul meluahkan rasa teruja memaklumkan perancangan konsert itu dibuat susulan respons positif diterima selepas kemunculannya sebagai artis jemputan di program realiti hiburan Kilauan Emas pada malam Sabtu lalu. 

Dia juga kini sedang mencari penganjur bagi merealisasikan perancangan konsert mini yang bakal berlangsung pada April tahun hadapan. 

"Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada team Kilauan Emas yang mempunyai idea untuk buat kejutan atas penampilan saya di program tersebut. 

"Disebabkan kejutan itulah saya mendapat banyak cadangan dan pertanyaan untuk buat konsert. Dengan itu, saya bercadang untuk membuat mini konsert pada 26 April 2026.

"Dengan itu saya mencari sesiapa saja sebagai penganjur untuk konsert mini ini. Sila hubungi dan bercakap dengan pengurusan saya," ujarnya.

Nourul teruja memaklumkan rancangan konsert mini yang akan berlangsung pada April tahun hadapan.

Sebelum ini, perkongsian berita gembira tentang konsert mini Nourul mendapat perhatian netizen termasuk ada yang mempertikaikan kemampuan penyanyi berkenaan. 

Kata mereka, keputusan ini merupakan satu risiko sekiranya tiket konsert tidak habis dijual memandangkan Nourul tiada lagu hit selain lagu duet bersama penyanyi lain.

"Jangan syok sendiri kak. Risiko kalau orang tak beli tiket, bukan banyak sangat lagu hit selain lagu duet," tulis netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain