suria

Siti Nurhaliza penyumbang zakat tertinggi - “Setiap hasil jualan ada hak orang lain”

Siti ketika majlis penyerahan zakat yang disaksikan Tengku Amir Shah.

BIDUANITA negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan usahawan Datuk Seri Aliff Syukri antara penyumbang zakat perniagaan tertinggi kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Kedua-duanya membayar Zakat Perniagaan di bawah Syarikat CTDK Holding dan D'Herbs Holdings Sdn Bhd. 

Menurut Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 46, zakat merupakan tanggungjawab sesama Muslim selain dapat melapangkan hatinya.

Katanya dia tidak pernah culas membayar zakat perniagaan ataupun perseorangan setiap tahun. 

Siti tidak pernah culas tunai zakat. 

"Zakat ini sesuatu yang wajib bagi kita. Memang saya akan selalu pastikan apabila sampai tempoh untuk membayar, kita perlu melunaskannya.

"Dalam Islam sudah diberitahu pentingnya zakat untuk menyucikan harta benda kita. Setiap hasil wang yang diperolehi melalui perniagaan, di dalamnya ada hak orang lain juga.

"Ia juga melancarkan perniagaan, hati saya lebih tenang dan pendapatan kita lebih banyak lagi. Sejak ada syarikat sendiri daripada sebelum kahwin lagi, zakat adalah suatu tanggungjawab yang saya tak pernah culas," katanya kepada mStar.

Siti berkongsi perkara itu ketika ditemui di Majlis Hi-tea bersama pengeluar zakat anjuran Lembaga Zakat Selangor dengan kerjasama Yayasan Raja Muda Selangor yang berlangsung di Shah Alam, Selangor pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Siti Nurhaliza pertahan selebriti wanita ke Gaza, doa lebih afdal daripada kecam 

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza kekal penyanyi nombor 1 Malaysia, diangkat Legenda Muzik Asia Tenggara

Turut berangkat ke majlis berkenaan, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berlangsung di Shah Alam, Selangor pada Rabu.

Hadir sama adalah Timbalan Pengerusi LZS, Tan Seri Datuk Setia Ambrin Buang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari. 

Sementara itu, anak sulung Aliff Syukri iaitu Ammar Ahyan pula memberitahu dia cukup berbangga apabila bapanya masih lagi menjadi antara penyumbang tertinggi di negeri Selangor.

Ammar Ahyan mewakili bapanya. 

Malah dia juga menyimpan hasrat untuk melaksanakan tanggungjawab seperti bapanya apabila sudah capai usia.

"Saya berasa gembira dan berbangga dengan ayah saya. Saya juga mahu berterima kasih kepada kakitangan D'Herbs.  

"Tahun depan giliran saya pula bayar zakat sebab zakat ialah salah satu tiang Islam. Siapa saja yang tak mahu bantu orang lain," ujarnya.

Selain itu, beberapa syarikat lain yang menyumbang ialah Bawal Sdn Bhd, Aura One Resources (M) Sdn Bhd, XpertsCo Sdn Bhd dan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain