suria

“Tidak sepatut berlaku” - Aina Abdul ulas kemenangan vokal dipertikai, bukan sekadar nyanyi nota tinggi

Aina sudah biasa berdepan kritikan.

PENYANYI Aina Abdul tampil mengulas kenyataan Atilia Haron yang sebelum ini menimbulkan persoalan seolah-olah industri kini hanya memandang kepada vokal tinggi sahaja.

Menurut Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 32, dia menghormati pandangan tersebut, namun tidak bersetuju kerana setiap pertandingan dinilai oleh barisan juri profesional dan berpengalaman.

“Berat juga sebenarnya isu ini untuk saya cakap. Sebenarnya, saya percaya semua orang ada pandangan masing-masing. Saya hormat kepada yang menulis itu, malah saya sangat menghormatinya.

Aina percaya pada kredibiliti juri. 

“Namun, saya percaya dengan kredibiliti juri-juri yang membuat penilaian. Jadi, bila ada pihak yang mempersoalkan hanya kerana ‘vocal range’ dan sebagainya, secara tidak langsung seolah-olah turut mempertikaikan keseluruhan proses penjurian.

“Bagi saya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Tetapi saya tetap menerima jika ada orang ingin memberi pandangan,” katanya kepada mStar.

Aina memaklumkan perkara tersebut ketika ditemui semasa pelancaran lagu baharu berjudul Sesaat pada Rabu di Kuala Lumpur. 

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Kemenangan di AIM24 pencapaian paling bermakna, Aina Abdul sebak teringat segala usaha dan penat lelah 

ARTIKEL BERKAITAN: Berhati-hati tapi bukan cerewet, Aina Abdul cari ilham di kota Jakarta

Tambah Aina, kemenangan yang diraih bukan semata-mata kerana mampu menyanyikan nota tinggi, sebaliknya hasil daripada ilmu vokal yang dipelajarinya sejak sekian lama bersama tenaga pengajar berkaliber.

“Saya tahu apa yang saya lakukan kerana saya datang daripada latar belakang muzik. Saya bukan sekadar menjerit nota tinggi sahaja.

“Apa yang saya buat bukan tanpa ilmu. Saya pernah berguru dengan beberapa tenaga pengajar yang memang berkaliber dalam industri. 

Saya bukan sekadar menjerit nota tinggi sahaja

AINA ABDUL 

PENYANYI

“Jadi saya membawa semangat dan ilmu itu dalam diri saya. Saya tahu apa yang saya lakukan,” ujarnya. 

Ditanya sama ada dirinya terasa dengan kenyataan seperti itu, Aina menafikan perkara tersebut dan menyifatkan sudah terbiasa dengan pelbagai kritikan sejak mula bergelar anak seni.

“Sebenarnya tidak. Saya sudah boleh jangka perkara sebegini akan berlaku. Dari AJL lagi saya sudah belajar banyak perkara. 

“AJL mematangkan saya sebab isu dipertikaikan itu memang perkara biasa. Cuma saya tidak sangka kali ini ia jadi sebesar ini,” tambahnya.

Aina menang ketegori Vokal Wanita Terbaik AIM24. 

Pada 14 September lalu, hantaran Atilia mencuri perhatian apabila membandingkan industri tempatan dengan penyanyi antarabangsa seperti Norah Jones dan Sade.

Atilia menimbulkan persoalan sama ada Norah Jones akan memenangi anugerah sekiranya menjadi penyanyi di Malaysia kerana beliau tidak menjerit ketika menyanyi. 

Hantaran tersebut bagaimanapun telah dipadam selepas mencetuskan polemik.

Walaupun tidak menyebut nama mana-mana individu, netizen mengaitkan kenyataan itu dengan kejayaan besar Aina Abdul yang baru sahaja merangkul trofi utama di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain