suria

Babak ranjang filem Killmaster lulus LPF tanpa potongan, Julian Cheah bawa watak ala James Bond

Julian (kiri) memegang watak utama dalam filem Killmaster.

PENGARAH dan penerbit filem Killmaster, Julian Cheah mendedahkan karya terbaharunya itu melepasi saringan penuh Lembaga Penapis Filem (LPF) tanpa sebarang potongan walaupun menampilkan beberapa babak intim.

Julian yang turut membawakan watak utama berkata, filem yang bakal menemui penonton bermula hari ini diberi klasifikasi P16 iaitu hanya untuk tontonan penonton berusia 16 tahun ke atas.

“Killmaster diluluskan 100 peratus tanpa sebarang potongan. Walaupun ada adegan intim, pihak LPF sudah meneliti dan meluluskan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana di TGV Suria KLCC, baru-baru ini.

Killmaster melepasi saringan penuh LPF tanpa sebarang potongan. 

Filem menelan kos kira-kira RM4 juta itu menjalani penggambaran lebih tiga minggu di Ibiza, Sepanyol dengan sebahagian besar bajet digunakan untuk tiket penerbangan, penginapan dan makan minum kru produksi.

“Saya pilih Ibiza kerana keindahan alam semula jadinya selain terkenal sebagai destinasi pelancongan glamor.  Identiti saya adalah glamor, bukan aksi. 

“Saya tidak mahu penggambaran di lorong atau kelab malam. Saya mahu mengembalikan pesona glamor filem Bond era 70-an seperti The Spy Who Loved Me, Moonraker dan For Your Eyes Only,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Arah drama OTT, Tam Suhaimi masih tahu batas tak perlu babak cium aksi ranjang

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada tapisan tayangan di Netflix, Jack Tan jawab babak seks dalam ‘Abang Adik’

Julian yang mula berkecimpung dalam bidang ini sejak 1987 turut melalui pelbagai cabaran termasuk kerugian kewangan, namun tetap berpegang bahawa setiap usaha mempunyai nilai tersendiri.

“Saya pernah rugi besar tetapi ia tidak melemahkan semangat. Saya dilahirkan untuk berada dalam industri ini,” katanya.

Killmaster mengisahkan Mejar Alex Wong dengan nama kod Killmaster, seorang ejen kerajaan yang sangat terlatih ditugaskan oleh Ketua Pertahanan Lt-Jen  Viraj Yadav dengan misi penting iaitu membongkar rangkaian pengganas yang merancang serangan dahsyat ke atas tanah airnya.

Julian bergandingan dengan Monica dalam Killmaster.

Usaha menjejaki kumpulan itu membawa Alex ke Sepanyol dan di situ dia bertemu dengan seorang wanita muda yang mempunyai dendam peribadi terhadap kumpulan penjahat tersebut. 

Kedua-dua mereka kemudian berganding bahu untuk melunaskan tanggungjawab dan dendam dalam satu misi yang penuh bahaya.

Selain Julian, filem ini turut menampilkan pelakon Chile, Monica de Caro serta pelakon tempatan seperti Himanshu Bhatt, Jayaram Menon, Zack Aminuddin dan Muiz Rosli.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain