BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, menganggap kehadiran individu memerlukan yang datang ke rumahnya untuk meminta bantuan sebagai perkara biasa.
Siti, atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata beliau tidak pernah teragak-agak menghulurkan pertolongan sekiranya berada di rumah ketika itu.
“Rumah saya memang selalu didatangi orang minta bantuan. Kalau saya ada ketika itu saya bagilah untuk meringankan beban mereka.
Netizen anggap ada pihak ambil kesempatan dengan kebaikan Siti.
“Insya-Allah saya tidak akan menghampakan. Kadang-kadang ada yang sangat memerlukan tapi saya tak nak yang sengaja datang untuk ‘scam’,” katanya kepada mStar.
Menurut Siti, walaupun sentiasa terbuka untuk membantu, beliau menggalakkan orang ramai tidak berbuat demikian kerana rumah adalah ruang peribadi untuk dirinya dan keluarga.
Bagaimanapun, katanya, beliau memahami ada segelintir individu sanggup datang kerana berada dalam keadaan terlalu terdesak.
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza penyumbang zakat tertinggi - “Setiap hasil jualan ada hak orang lain”
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Siti Nurhaliza pertahan selebriti wanita ke Gaza, doa lebih afdal daripada kecam
“Saya daripada mula menyanyi dulu memang sudah ada yang datang rumah, cuma mereka kena tahu rumah itu tempat privasi saya dan keluarga.
“Kalau terdesak sangat kita faham cuma tak nak galakkan nanti penuh rumah saya.
“Saya selalu nasihatkan kalau perlu bantuan sangat terus beri surat kepada Yayasan Nurjiwa. Setakat ini kalau melihat pada yang betul-betul memerlukan kita tidak menghampakan,” katanya.
Kalau dia tipu saya sudah halalkan, tiada masalah.
SITI NURHALIZA
PENYANYI
Siti juga berkata dia tetap menghalalkan wang yang diberikan walaupun ada kemungkinan terdapat pihak yang berniat tidak baik.
“Saya macam ini kalau dia memerlukan saya bagi, selebihnya itu antara dia dan Allah SWT. Kalau dia tipu saya sudah halalkan, tiada masalah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Siti memberitahu melalui Yayasan Nurjiwa, pihaknya lebih mudah menyusun data memandangkan dana sumbangan perlu direkodkan dengan baik.
Siti nasihatkan ikut saluran yang betul.
“Kalau saya tiada di rumah biasanya staf akan beritahu dan kalau mereka ada surat saya akan hantar kepada Yayasan Nurjiwa.
“Yayasan saya simpan semua data sebab kalau melalui yayasan ini bukan suka-suka kita boleh keluarkan duit,” jelasnya.
Sebelum ini, tular di media sosial apabila seorang individu hadir ke rumah Siti untuk meminta sumbangan, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang netizen kerana dianggap mengganggu ruang privasi penyanyi itu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube