suria

MuviiGrind cari bakat baharu drama vertikal, Zila Bakarin kali pertama jadi juri

Zila Bakarin bertindak sebagai juri pencarian bakat MuviiGrind.

HAMPIR tiga dekad berkecimpung dalam dunia lakonan, pelakon Zila Bakarin diberi kepercayaan untuk bergelar juri bagi sebuah program pencarian bakat baharu yang dianjurkan oleh MuviiGrind, sebuah platform inovatif dalam industri hiburan. 

Program ini bertujuan memilih pelakon terbaik untuk produksi drama vertikal yang mengetengahkan kisah kehidupan masyarakat di seluruh rantau ASEAN termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina dan Thailand.

“Ini pengalaman pertama saya menjadi juri. Kalau ikutkan, siapalah saya untuk menilai orang lain, tetapi saya diberi penghormatan dan tanggungjawab ini.

"Alhamdulillah, 99.9 peratus peserta yang hadir sangat berbakat. Ramai sebenarnya mampu berlakon tetapi tidak diberi peluang.

Rosnah (kanan) dan Curly Jow turut bertindak sebagai juri pada sesi uji bakat yang dijalankan. 

"Selepas ini, insya-Allah mereka akan dapat ruang untuk membuktikan kebolehan,” katanya.

Selain Zila, sesi uji bakat yang berlangsung di Teedo Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini menampilkan nama-nama besar industri seni tanah air, antaranya Datuk Fauziah Nawi dan Rosnah Johari. 

Turut bersama adalah beberapa pengarah dan penulis skrip seperti Hafiz Derani, Zaiham Zainal (Curly Jow) dan Rizuan Md Nor (Apple). 

Selain itu, pelakon Danial Dashuki dan Tiara Suraya juga dijemput sebagai panel tambahan untuk memberikan perspektif lebih luas kepada peserta.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Belum layak mahu mengajar, Nabila Huda tak lokek kongsi ilmu di IG... “Bakat ada dalam diri sendiri”

ARTIKEL BERKAITAN: Nadhir tegur bakat baharu muhasabah diri, jangan buat masalah... “Sebab kau, pelakon senior stereotaip” 

Sambutan yang diterima ketika sesi uji bakat amat memberangsangkan apabila lebih 480 individu telah mendaftar, sekali gus mendorong pihak penganjur untuk merancang sesi kedua dalam masa terdekat.

Acara yang bermula dari jam 10 pagi hingga 6 petang itu memperlihatkan semangat tinggi calon yang ingin merebut peluang mewarnai dunia drama vertikal, format yang semakin mendapat perhatian penonton muda.

Melihat sambutan luar biasa itu, MuviiGrind berhasrat memperkukuh kerjasama dengan lebih banyak pihak di rantau ASEAN. Inisiatif ini selaras dengan usaha mereka membina jaringan hiburan serantau yang memberi manfaat bersama antara Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Filipina.

Antara peserta yang hadir ke sesi uji bakat yang dianjurkan oleh MuviiGrind. 

Dalam masa sama, MuviiGrind turut merancang untuk melibatkan pemenang festival filem berprestij antarabangsa seperti Cinema International Film Festival (Filipina), Piala Citra Festival Film (Indonesia) dan Suphannahong National Film Awards (Thailand) bagi menghasilkan karya drama vertikal yang lebih segar dan berdaya saing.

Langkah ini diyakini mampu melahirkan produk hiburan yang relevan serta mendapat tempat di hati penonton dari pelbagai latar budaya di rantau Asia Tenggara.

 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain