suria

“Syukur apa yang saya impikan Allah dengar” - Suriati Baharom

Suriati (kiri) tumpang gembira melihat penglibatan anaknya dalam Dewi Remaja 2025.

PELAKON Suriati Baharom tidak menyangka bakat seninya kini diwarisi anak perempuannya, Camelia yang berjaya melangkah sebagai finalis Dewi Remaja 2025.

Suriati, 53, berkata Camelia Natasya satu-satunya cahaya mata yang menunjukkan minat mendalam untuk meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan.

Katanya, kejayaan Camelia menempatkan diri dalam program realiti pencarian bakat itu mengimbau kembali pembabitannya dalam dunia hiburan satu ketika dulu.

"Saya sangat bangga dia menyambung dan mewarisi bakat saya di arena seni. Dalam keluarga, dia satu-satunya yang berminat dalam bidang lakonan. 

Bakat lakonan Suriati kini diwarisi Camelia (kanan).

"Bila ada seorang anak seperti ini, saya teringat zaman muda dahulu terutama sewaktu aktif membintangi drama.

"Alhamdulillah, apa yang saya impikan Allah dengar. Terima kasih kepada Astro yang bagi peluang kepada Camelia untuk kembangkan bakat dimiliki," katanya kepada mStar. 

Suriati berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Dewi Remaja 2025 yang diadakan di TGV 1 Utama, Damansara pada Rabu.  

Dalam pada itu, Suriati berkongsi minat Camelia terhadap dunia lakonan sudah terserlah sejak di bangku sekolah lagi. 

ARTIKEL BERKAITAN: Juara Dewi Remaja Nurel Baharin tak kejar populariti, jadikan Bront Palarae dan Nabila Huda sebagai ‘role model’

ARTIKEL BERKAITAN: Diversiti kunci pemilihan peserta, guru tadika dan selebriti TikTok antara 16 finalis Dewi Remaja 2022 

"Sejak di bangku sekolah lagi dia dah tunjukkan minat berlakon. Dulu masa saya jalani penggambaran drama, dia pun ikut. 

"Kadang dia bawa watak budak kecil. Bila di tingkatan lima dia mula berlakon filem sampai sekarang dia masih minat bidang sama," ujarnya. 

Sementara itu, Camelia menepis tanggapan bahawa kejayaannya sebagai peserta Dewi Remaja 2025 disebabkan statusnya sebagai anak selebriti.

Ujar Camelia, dia percaya peluang yang diterima ini adalah hasil usahanya sendiri selain mempunyai bakat dalam bidang lakonan. 

"Saya rasa ini bukan mudah. Kita kena ada usaha, kalau tiada bakat dan kerja keras orang akan menyampah apabila di set penggambaran. 

"Saya tetap kena tahu ilmu, pergerakan dan reaksi dalam lakonan. Jadi bila orang cakap (emak artis), saya tak setujulah sebab bukan mudah dia dalam industri ini, banyak juga cabaran," katanya. 

Camelia mahu terus fokus menempatkan diri dalam industri hiburan.

Untuk rekod, Camelia yang juga anak kepada pengarah Khir Mohd Noor pernah membintangi dua filem iaitu Miimaland dan Banglo No 99 selain enam drama serta enam telefilem. 

Selain Camelia, 11 lagi peserta turut bertanding merebut gelaran juara Dewi Remaja 2025 termasuk Dheper, Nylea, Marisa, Elisa Chew dan Teya. 

Peserta lain yang bakal bersaing ialah Suhaila, Ariana, Ellysa Ramlee, Sharmaine, Nelysa Kay serta Fittri. 

Dewi Remaja 2025 akan bersiaran pada 10 Oktober ini pukul 10 malam di Astro Ria serta boleh strim secara On Demand di Astro GO dan Sooka.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain