KHABAR angin perkahwinan penyanyi Sabronzo terus menjadi bualan dalam kalangan peminat selepas tular sebuah foto dia berpakaian pengantin.
Meskipun tiada sebarang kenyataan daripada empunya badan, namun pelbagai spekulasi mula timbul seakan-akan mengesahkan anggota kumpulan Dolla itu kini sudah bergelar isteri kepada DJ Dash Berlin.
Lebih menguatkan, timbul pula kenyataan seorang individu yang mendakwa pernah melihat Sabronzo atau Wan Sabrina Wan Rusli, 30, melakukan ujian saringan HIV sebagai salah satu syarat untuk berkahwin.
Perkongsian seorang pengguna laman Threads.
"Hari itu terserempak mereka berdua di klinik kesihatan sebab buat ujian HIV. Nasib baik saya tak 'kepochi' tularkan berita mereka.
"Punyalah menjaga privasi mereka, nak ambil gambar pun tak berani sebab takut mereka terganggu," tulis individu berkenaan di laman Threads.
Tambah individu tersebut dia juga yakin lelaki yang bersama Sabronzo di klinik berkenaan adalah suaminya kini.
ARTIKEL BERKAITAN: Foto perkahwinan tular, Sabronzo Dolla didakwa sudah berkahwin
ARTIKEL BERKAITAN: Sabronzo pilih ‘sorok’ si dia, enggan hal peribadi jadi tatapan umum
"Detektif la kita scroll boyfriend dia siap. Rupa-rupanya muka sama DJ ini. Ralat juga tak ambil gambar dengan mereka," ujarnya.
Foto perkahwinan Sabronzo dan DJ Dash yang dipercayai berlangsung di Bali, Indonesia mula tular sejak petang Khamis.
Menerusi beberapa hantaran yang tular di media sosial, ramai yang mengesahkan gambar berkenaan bukanlah janaan AI atau kecerdasan buatan.
Sabronzo dikatakan sudah berkahwin di Bali, Indonesia.
Mei lalu timbul spekulasi yang mendakwa Sabronzo sedang bercinta dengan seorang DJ antarabangsa selepas mereka dilihat berbalas komen di media sosial.
Mereka dikatakan mula rapat selepas sama-sama terlibat dalam sebuah acara sekitar awal tahun 2024.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube