USAHAWAN Datuk Dr Azril Mohd Radzi meluahkan rasa terkilan apabila namanya dilaporkan tercicir daripada senarai penyumbang zakat perniagaan tertinggi yang dikeluarkan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Menurut Azril, 39, pada awalnya dia teruja kerana buat kali pertama mahu berkongsi mengenai jumlah zakat yang dibayar syarikatnya, namun hampa apabila tidak tersenarai dalam siaran media pihak berkenaan.
“Jujur memang saya kecewa sebab sebelum ini saya bayar zakat di negeri Perlis dan merupakan antara pembayar tertinggi, tapi tak pernah dedahkan perkara itu.
Azril merupakan antara penyumbang zakat perniagaan tertinggi sebelum ini di negeri Perlis.
“Saya dapat teguran lebih baik bayar zakat di tempat kita cari rezeki. Jadi saya tukar dan bayar di negeri Selangor.
“Disebabkan itu, tahun ini bila saya mahu uar-uarkan kepada umum buat kali pertama tiba-tiba nama saya tercicir dalam siaran media yang diterbitkan pihak zakat,” katanya ketika dihubungi mStar pada Sabtu.
Bercerita lanjut, Azril berkata kemungkinan namanya tercicir kerana dia bukanlah figura yang dikenali ramai.
Bagaimanapun dakwanya, pihak LZS sudah tampil memohon maaf dan memberi jaminan untuk memperbetulkan kekeliruan berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza penyumbang zakat tertinggi - “Setiap hasil jualan ada hak orang lain”
ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Syukri bayar zakat perniagaan RM1 juta, doa untung lebih banyak
“Saya dapat tahu nama saya tercicir dalam siaran media itu sehari sebelum acara itu berlangsung, mungkin sebab saya tak terkenal.
“Mereka minta maaf atas apa yang berlaku dan berjanji akan betulkan salah faham tersebut.
“Apapun benda dah jadi, saya harap mereka ambil tindakan yang sepatutnya seperti mereka janjikan kepada saya,” jelasnya.
Tambah Azril, kekeliruan itu secara tidak langsung menimbulkan persoalan dalam kalangan pihak luar yang meragui kewajipan syarikatnya terhadap pemotongan zakat perniagaan.
Setakat Julai, syarikat Azril sudah sumbang RM702,000 pada LZS.
Malah syarikatnya dikatakan sudah menyumbang sebanyak RM702,000 sehingga Julai tahun ini pada LZS.
“Saya bersuara kerana ada yang bertanya syarikat saya tak bayar zakat ke? Jadi perkara ini beri kesan pada imej syarikat.
“Sebenarnya sehingga bulan Julai saya dah bayar RM702,000 kepada LZS” ujarnya.
Untuk rekod, pada Rabu lalu media melaporkan sebanyak 22 buah syarikat korporat membayar zakat perniagaan berjumlah RM6,123,299.05 juta kepada LZS.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube