KEJADIAN anak terjatuh dari buaian meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat pelakon Datin Atikah Suhaime.
Malah Atikah atau Nur Atikah Suhaime, 34, merasa dia gagal menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu terhadap anaknya, Lyla Mulan Teh.
"Sebenarnya salah saya. Rupanya salah pasang, jadi buaian itu jatuh. Saya dah pakai selama tiga bulan. Ini semua salah saya. Saya gagal sebagai seorang ibu.
Mulan dalam keadaan baik.
"Semalam (Sabtu) satu kejadian trauma buat saya. Tetapi melihat Mulan nak juga makan bubur, saya gembira. Semoga semua anak kecil sihat selalu," katanya.
Atikah berkongsi perkara itu di Instagram miliknya berserta beberapa gambar buaian elektronik yang dibeli roboh secara tiba-tiba.
Bercerita lanjut, pelakon ini memberitahu kejadian itu berlaku tanpa diduga ketika dia meninggalkan anaknya seketika bersama pembantu.
ARTIKEL BERKAITAN: Atikah Suhaime enggan terburu-buru, pilih masa sesuai untuk anak kedua… “Rozita Che Wan boleh je mengandung waktu umur dah berusia”
ARTIKEL BERKAITAN: “Orang Singapura selera Kelantan” - Atikah Suhaime jatuh cinta dengan nasi kerabu, budu
Menerusi gambar yang dimuat naik, Mulan mengalami sedikit luka pada bahagian hidung.
"Saya ada pembantu cuma sekejap sahaja solat Asar tinggalkan Mulan. Benda jadi macam itu. Saya berfikir bagaimanalah ibu-ibu lain yang tiada pembantu. Bagaimana uruskan anak ketika bekerja?
"Mami minta maaf. Tidak kira apa pun, tak mengapa. Pegang anak, berhenti buat apa sahaja," ujarnya.
Untuk rekod, Atikah mendirikan rumah tangga dengan usahawan Datuk Lokman Teh pada Januari 2024 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Lyla Mulan pada 8 Mac lalu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube