suria

Bunga Citra Lestari kongsi kisah kehilangan dan cinta baharu, konsert ‘Eternal Love Timeless Romance’ penuh emosi

Bunga sebak ketika menyanyikan lagu 12 Tahun Terindah.

SUASANA Dewan Plenary Kuala Lumpur Convention Centre malam Ahad berubah menjadi lautan emosi apabila penyanyi Bunga Citra Lestari mempersembahkan konsert ‘Eternal Love, Timeless Romance’ yang penuh dengan kisah cinta, kehilangan dan harapan baharu.

Ketika membawakan lagu Wanita Terbahagia, Bunga atau lebih mesra disapa BCL tampil terbuka berkongsi kisah peribadi mengenai pemergian suami tercinta, Allahyarham Ashraf Sinclair, yang menjadi momen paling getir dalam hidupnya.

"Lagu Wanita Terbahagia ini saya hadiahkan kepada arwah suami saya (Ashraf). Kehadiran Ashraf dan Noah (anak) menjadikan saya wanita bahagia. 

"Hidup tidak seperti apa yang kita rancangkan. Saat kehilangan Ashraf adalah sangat mengejutkan.

Bunga pernah melalui titik terendah dalam hidup selepas pemergian Ashraf.

"Semua perancangan kami harus diganti di saat saya belum boleh melepaskan seorang partner in crimes (suami)," katanya.

Allahyarham Ashraf yang juga merupakan seorang pelakon meninggal dunia pada 17 Februari 2020. 

BCL turut mengimbas kembali hidup penuh kenangan bersama Ashraf, yang menjadi inspirasi buatnya menghasilkan lagu 12 Tahun Terindah.

"Selama 12 tahun saya dan Ashraf bersama. Perjalanan yang saya sukar untuk saya lalu. Kehilangan Ashraf memberi saya inspirasi untuk menulis lagu ini. 

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Bunga Citra Lestari bahagia ada tiga keluarga, syukur ibu bapa Ashraf Sinclair terima suami baharu

ARTIKEL BERKAITAN: BCL ziarah kubur Ashraf Sinclair, netizen tak senang duduk... “Dah sempurna jadi ibu tunggal kenapa nikah lagi”

"Sewaktu kehilangan Ashraf, setiap hari saya menulis untuk melepasi proses sedih itu. 

"Pesan saya, manfaatkan sebaiknya masa bersama orang tersayang kerana tidak akan tahu bila mereka akan tinggalkan kita," ujarnya. 

Namun di sebalik kedukaan yang dialami, terselit harapan dan lembaran baharu buat Bunga selepas menemui cinta baharu iaitu Tiko Aryawardhana. 

Mereka mendirikan rumah tangga pada 2 Disember 2023 di Bali, Indonesia. 

Kata Bunga, dia bersyukur kerana Tiko menerima kehadiran keluarga arwah Ashraf dalam hidupnya.

"Lagu dan video yang saya paparkan malam ini bukan untuk menangis tetapi hanya mahu kongsikan perjalanan hidup dan bagaimana saya membuka lembaran baru. 

Bunga (kanan) turut berduet bersama Fajar menerusi lagu Aku Dan Dirimu.

"Saya berani mencuba untuk memulakan hidup baru dan kini suami (Tiko) juga ada di sini. Saya ingin kongsikan di sini yang mana suami saya mahu menerima keluarga Ashraf. 

"Sekarang saya sudah jadi anak ummi (ibu Ashraf) dan Tiko adalah menantu ummi," katanya.

Dalam konsert berdurasi dua jam itu, BCL membawakan sebanyak 17 buah lagu termasuk Ingkar, Selalu Ada Di Nadimu, Memulai Kembali, Karena Ku Cinta Kau dan Cinta Sejati. 

Konsert ‘Eternal Love, Timeless Romance’ turut dimeriahkan dengan penyanyi jemputan termasuk Fajar Noor, Jaclyn Victor dan Dennis Lau.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain