PELAKON Sharifah Sakinah mengagumi keberanian anak saudaranya, Auddra Zulkifli yang berani berdepan perhatian ramai ketika usia masih remaja.
Kata Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 36, juga dilihat sangat matang dan tidak mudah melatah dengan kata-kata negatif di media sosial.
“Bila depan kamera, dia tahu nak cakap apa. Walaupun ayatnya kadang-kadang tidak tersusun, itu tidak mengapa sebab dia masih muda. Yang penting dia seronok dengan apa yang dilakukan.
Auddra makin dikenali selepas memasuki program Talk To My Manager.
“Saya salute Auddra sebab dia tak kisah dengan kata-kata orang. Cuma saya pesan jangan abaikan nasihat keluarga kerana mereka sudah lama dalam industri dan lebih berpengalaman,” katanya kepada mStar.
Dalam masa sama, Sakinah turut mengakui perwatakan Auddra hampir sama dengannya dan memiliki aura tersendiri ketika tampil menyanyi di atas pentas.
Malah dia juga yakin Auddra mampu untuk terus kembangkan bakat dalam dunia seni.
ARTIKEL BERKAITAN: Peminat ‘kenenkan’ Hadie, Audra... Ina Naim titip pesan pada anak - “Saya percaya dia”
ARTIKEL BERKAITAN: Sharifah Sakinah tayang wajah suami, berbulan rahsia selepas sah bernikah
Bahkan baginya personaliti Auddra boleh menjadi inspirasi buat golongan remaja seusianya.
“Perwatakan kami agak serupa tapi Auddra lebih berani daripada saya. Bila di atas pentas, saya nampak dia ada persona seorang superstar.
“Saya pula lebih cenderung kepada bidang lakonan, jadi tak banyak naik pentas seperti dia. Tapi bila tengok Auddra, saya rasa dia jauh lebih presentable,” ujarnya.
Sakinah bersama para pelakon filem Qafirah.
Auddra atau mesra disapa Odah mula mencuri perhatian selepas menyertai program realiti Talk To My Manager bersama ibunya yang juga penyampai radio, Sharifah Shahira.
Sementara itu dalam perkembangan kerjaya sendiri, Sakinah bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul Qifarah arahan Ghaz Abu Bakar yang akan menemui penonton di pawagam bermula 9 Oktober ini.
Filem berkenaan turut menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Datuk Remy Ishak, Liyana Jasmay, Rita Nadira, Vanida Imran, Namron dan Esma Daniel.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube