suria

Eira Syazira kongsi pengalaman ‘comeback’ di Indonesia, pernah terfikir untuk berhenti menyanyi

Eira pernah terfikir untuk berhenti menyanyi di Indonesia.

PELAKON dan penyanyi Eira Syazira pernah merancang untuk memberi tumpuan kepada perniagaan bersama suaminya yang juga penyampai radio,  Azad Jasmin. 

Bagaimanapun Eira atau nama sebenarnya Syazira Sarimah Sakinah Almera Shuhaimi, 41, membatalkan hasrat tersebut selepas mengikut permintaan suami yang mahu dia terus mengembangkan kerjaya seni di negara jiran. 

Selepas beberapa tahun, Eira kini kembali dengan single terbaharu berjudul Bawang Merah Bawang Putih hasil kolaborasi bersama penyanyi Indonesia, Nabila Maharani. 

Eira tidak pernah terfikir untuk meneruskan kerjaya nyanyian di Indonesia.

"Sebenarnya saya pernah terfikir untuk berhenti menyanyi di Indonesia. Rasa macam sudah tidak mahu teruskan dan hanya mahu fokus pada perniagaan. 

"Tapi Pak Azad (suami) kata bila saya sudah mula menyanyi di sana, saya perlu habiskan sampai ke penghujung. 

"Sebab itu sekarang saya kembali dengan lagu baharu bersama Nabila Maharani,"katanya kepada mStar. 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerjaya nyanyian di Indonesia terjejas, Eira Syazira kecewa tak dapat balik Jakarta promosi lagu baharu

ARTIKEL BERKAITAN: Sudah 12 tahun Eira Syazira tak teringin makan nasi kerabu, tiada tandingan air tangan arwah ibu

Dalam pada itu, Eira mengakui tidak pernah merancang untuk mengembangkan kerjaya di Indonesia kerana tujuan asalnya ke negara itu hanya bagi mencari barangan perniagaan bersama suami. 

Namun rezeki berpihak kepadanya apabila dia diperkenalkan kepada pemilik Positive Art Entertainment, Om Jan yang kini menjadi pengurusnya di sana. 

"Sejujurnya tujuan saya ke Indonesia dulu hanya untuk berniaga dengan Pak Azad. Selepas itu saya berkenalan dengan Om Jan yang kini menguruskan kerjaya saya di Indonesia. 

 

Ada satu ketika saya pernah terfikir untuk menghentikan karier nyanyian di Indonesia.

EIRA SYAZIRA

PELAKON & PENYANYI

"Selama ini tak pernah terfikir nak jadi penyanyi di Indonesia. Kalau ada peluang meluaskan kerjaya di sana mungkin dalam bidang lakonan tapi tak sangka rezeki saya dalam bidang nyanyian. 

"Kata Om Jan, mereka suka dengar cengkuk dari artis Malaysia. Katanya saya bawa personaliti Malaysia di negara itu," ujarnya. 

Mengulas lanjut tentang kolaborasi bersama Nabila, Eira memberitahu dia terkejut kerana penyanyi Indonesia itu memberi peluang kepadanya untuk merakamkan lagu duet. 

Eira (kiri) duet bersama Nabila menerusi lagu  Bawang Merah Bawang Putih.

“Saya tak pernah menjangkakan penyanyi dan pencipta lagu, Tri Suaka akan mencipta lagu untuk saya, apatah lagi peluang untuk berduet dengan Nabila yang juga isterinya.

“Lebih mengejutkan apabila Nabila yang sebelum ini tidak pernah berduet dengan mana-mana penyanyi wanita bersetuju untuk berduet dengan saya,” katanya. 

Single Bawang Merah Bawang Putih kini boleh didengari di semua platform digital. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain