suria

Fokus buat filem terbaik, Eman Manan tak ambil tahu isu ‘kartel’

Eman fokus pada penghasilan filem berkualiti berbanding isu kartel.

LEBIH empat dekad dalam industri filem tanah air, pelakon Eman Manan enggan mengambil peduli mengenai isu kartel yang disuarakan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki sebelum ini.

Kata Eman atau Abdul Manan Embong, 67, isu tersebut tidak dipandang olehnya kerana ia berada di luar skop tugas sebagai seorang pelakon.

"Jawapan saya, saya tak tahu dan tak pernah ambil tahu.

Eman tak ambil tahu tentang isu kartel.

"Saya berlakon melihat filem itu ceritanya apa, skrip daripada siapa, tema dan siapa pelakon itu sahaja.

"Soal kartel apa ni semua saya tak ambil tahu," katanya kepada mStar.

Mengulas lanjut, Eman memberitahu, dia pernah terbaca kenyataan daripada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengenai isu tersebut, namun tidak melihatnya sebagai perkara yang perlu diambil serius.

Sebaliknya, Eman berpendapat lebih baik tenaga dan perhatian ditumpukan kepada penghasilan filem yang berkualiti.

ARTIKEL BERKAITAN: Eman Manan Rasa Pelik Asyik Dapat Watak Utama

ARTIKEL BERKAITAN: Eman Manan Tegur Pelakon Kurang Ilmu Pertahanan Diri

"Saya ada baca mengenai isu ini, Fahmi Fadzil ada beri kenyataan, tapi saya tak ambil tahu dan tak nak tahu.

"Apa yang perlu saya tahu... mari kita sama buat filem lebih baik," jelasnya. 

Sebelum ini, Afdlin mendakwa wujudnya ‘tangan ghaib’ atau kartel yang menentukan kejayaan sesebuah filem tempatan.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Afdlin mendakwa kartel itu mempunyai kuasa untuk memutuskan filem mana yang diberikan slot tayangan utama, dan filem mana pula yang diketepikan tanpa promosi atau pendedahan sewajarnya.

Antara babak dalam filem Tiga Hajat lakonan Eman (kiri) dan Amerul.

Susulan itu, Fahmi Fadzil memberitahu pihak kementerian komited untuk membanteras budaya kartel dalam industri perfileman tempatan sekiranya ia wujud seperti didakwa segelintir pihak.

Bagaimanapun, terbaharu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac menafikan perkara tersebut dan menegaskan setiap filem yang ditayangkan di pawagam adalah mengikut syarat wajib tayang serta sentiasa mematuhi prosedur ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Eman bakal tampil dengan filem terbaharu lakonannya menerusi Tiga Hajat yang akan mula ditayangkan pada 2 Oktober ini di seluruh pawagam di Malaysia.

Selain Eman, filem itu turut menampilkan pelakon lain seperti Amerul Affendi, Zul Huzaimy dan Iman Aneesa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain