suria

Ardell Aryana kongsi detik cemas diserang Israel - “Mereka guna kapal besar”

Kapal yang dinaiki Ardell ditahan tentera Israel.

PELAKON Ardell Aryana berkongsi detik mencemaskan apabila kapal dinaikinya dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) diserang rejim Zionis pada pagi Jumaat

Menurut Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, dia bersama ahli misi lain berdepan saat getir apabila kapal mereka dihampiri tentera Israel dengan provokasi melampau.

“Assalammualaikum, kami baru sahaja diserang oleh tentera Israel, mereka menggunakan kapal yang sangat besar.

Ardell ketika membuat siaran langsung di Instagram miliknya.

“Kemudian mereka melepas tembakan air yang sangat kuat seperti tembakan air bomba,” katanya.

Ardell berkongsi detik cemas berkenaan menerusi sesi siaran langsung yang dibuat di Instagram miliknya.

Kata Ardell, sebelum belayar dia sudah menulis mesej kecemasan di media sosial sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya sesuatu tidak diingini berlaku.

Malah kapal dinaiki Ardell kini hanya mampu digerakkan dengan layar hadapan selepas bahagian belakang rosak akibat serangan tentera Israel.

ARTIKEL BERKAITAN: Kapal dinaiki Zizi Kirana 'diculik', disabotaj tentera Israel 

ARTIKEL BERKAITAN: Kapal dinaiki Heliza Helmi disembur meriam air

“Saya sudah buat mesej SOS sebelum saya belayar dan muat naik di media sosial… Sejuknya Subhanallah.

“Kapal kami, kipas layar bahagian belakang sudah patah, sekarang mengharapkan layar di hadapan sahaja.

“Kami tak dapat rekod apa yang tentera Israel buat pada kami, mereka simbah minyak yang melekit pada bot kami,” jelasnya lagi.

Saya sudah buat mesej SOS sebelum saya belayar dan muat naik di media sosial.

ARDELL ARYANA

PELAKON DAN AKTIVIS GSF

Misi GSF yang membawa beberapa kapal sudah memasuki kawasan zon merah menuju ke Gaza, Palestin pada pagi Jumaat.

Dalam perkembangan lain, kapal dinaiki penyanyi Zizi Kirana dilaporkan ‘diculik’ serta disabotaj tentera Israel, manakala kapal yang membawa aktivis Heliza Helmi pula disembur dengan meriam air.

Misi GSF ini disertai aktivis kemanusiaan dari seluruh dunia termasuk Malaysia bagi membawa bantuan keperluan asas buat rakyat Palestin yang masih bergelut di bawah kepungan rejim Zionis.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain