PELAKON Yusuf Bahrin tidak dapat melelapkan mata kerana terlalu bimbang memikirkan keselamatan isterinya, penyanyi Zizi Kirana yang kink dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Menurut Yusuf atau Muhammad Yusuf Bahrin, 33, kali terakhir dia dapat berhubung dengan Zizi adalah sekitar jam 1.40 pagi sebelum komunikasi terputus sepenuhnya.
“Kita sama-sama tak tidur malam ini. Saya rasa Zizi dah buang telefon sebab tak dapat nak hubungi dia dah, saya cuba mesej dan telefon.
Yusuf risau Zizi sudah tidak dapat dihubungi.
“Kali terakhir status kapal Zizi adalah kecemasan. Setakat ini saya cuba sedaya upaya kuatkan semangat, doa banyak-banyak.
“Kapal Heliza berada di belakang, sebab itu dia masih boleh buat siaran langsung,” katanya ketika tampil dalam siaran langsung di TikTok.
Yusuf berkata, misi GSF perlu difahami sebagai usaha kemanusiaan yang merentasi perbezaan bangsa dan agama, bukannya sebuah pergerakan untuk berperang.
“Kalian tolong sebarkan video mereka. Semoga apa yang dilakukan hari ini dapat buka mata orang ramai.
ARTIKEL BERKAITAN: Kapal dinaiki Zizi Kirana 'diculik', disabotaj tentera Israel
ARTIKEL BERKAITAN: Ardell Aryana kongsi detik cemas diserang Israel - “Mereka guna kapal besar”
“Dalam misi ini bukan semua orang Islam, ada juga bukan Islam. Itu menunjukkan misi kemanusiaan tidak mengenal batas agama.
“Mereka hanya mahu menghantar bantuan untuk rakyat Gaza, bukan pergi berperang,” jelasnya.
Dalam masa sama, Yusuf tidak dapat menahan sebak apabila memaklumkan penduduk Gaza, termasuk kanak-kanak, sudah menunggu di tepi pantai untuk menyambut ketibaan flotilla berkenaan.
“Saya rasa sayu sebab orang Gaza dah tunggu tepi pantai, termasuk budak-budak kecil. Mereka tiada apa-apa tapi tetap nak sambut pasukan flotilla dengan gembira.
Saya rasa Zizi dah buang telefon sebab tak dapat nak hubungi dia dah, saya cuba mesej dan telefon.
YUSUF BAHRIN
PELAKON
“Bila tahu misi ini tular di seluruh dunia, mereka rasa lega sebab ada yang peduli walaupun mereka tak semua ada akses media sosial,” katanya.
Mengakhiri perkongsian, Yusuf turut mengajak orang ramai menunaikan solat hajat serta mendoakan keselamatan seluruh delegasi yang terbabit dalam misi berkenaan.
“Insya-Allah saya mohon jasa baik kalian doakan sebelum Subuh. Sama-sama kita buat solat hajat kerana perkara ini di luar kemampuan kita.
“Saya boleh katakan, yang pergi misi ini semua hebat. Allah Taala letakkan mereka di satu darjat yang saya dan kita semua sendiri tak mampu duduk di situ,” ujarnya.
Zizi dilaporkan telah ditahan oleh rejim Zionis.
Usaha mStar untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Yusuf bagaimanapun tidak berjaya apabila panggilan telefon dibuat tidak dijawab.
Difahamkan, kapal yang dinaiki Zizi iaitu Huga telah dipintas bekas anggota tentera Israel (IDF).
Selain itu, dua kapal lain iaitu Sirius dan Alma yang turut membawa tujuh delegasi Malaysia juga dipintas pihak sama.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube