KAPAL misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang dinaiki penyanyi Zizi Kirana iaitu Huga dipintas, 'diculik' serta dinaiki secara paksa oleh tentera rejim Zionis ketika berlayar di perairan antarabangsa dalam misi bantuan ke Gaza, Palestin.
Perkara itu disahkan dan dikongsikan menerusi akaun media sosial rasmi Sumud Nusantara sebentar tadi.
Dalam masa sama, Sumud Nusantara turut memuat naik rakaman video Zizi yang dibuat sebelum pelayaran memaklumkan dirinya sudah diculik oleh tentera Israel sekiranya video itu dikongsikan kepada umum.
Zizi memohon kerajaan untuk membebaskan peserta GSF yang ditahan tentera Israel.
"Nama saya Zizi Kirana. Saya warganegara Malaysia. Jika anda menonton video ini bermakna saya telah diculik dan ia bertentangan dengan kehendak saya oleh tentera Israel.
"Misi kemanusiaan kami adalah aman. Tiada keganasan dan mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa," katanya.
Dalam masa sama, Zizi berharap kerajaan Malaysia mendesak Israel menjamin keselamatan semua yang berada di atas kapal serta membebaskan mereka segera.
ARTIKEL BERKAITAN: Zizi Kirana dengar bunyi letupan, kini dalam keadaan bersedia
ARTIKEL BERKAITAN: Zizi Kirana menghampiri ‘red zone’, semakin berdebar selepas tiba di Tunisia
"Saya segera merayu kepada kerajaan Malaysia terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat.
Setakat jam 6 pagi tadi, seramai lapan peserta GSF dari Malaysia sudah ditahan tentera Israel.