BUKAN sekadar mahu membantu kanak-kanak di Gaza, penyanyi Datin Seri Heliza Helmi juga menyimpan niat untuk memberi makan kepada kucing jalanan di daerah bergolak itu.
Menurut Datuk Seri Mahadi, 43, isterinya itu sudah membuat persiapan awal dengan membawa sejumlah makanan kucing sebelum memulakan misi bersama Global Sumud Flotilla.
Bagaimanapun, semangat itu sedikit terganggu apabila sebahagian bekalan makanan yang dibawa rosak akibat masalah pada bot semasa pelayaran.
Heliza tak sabar mahu berjumpa kanak-kanak di Gaza.
“Dia tak sabar nak jumpa kanak-kanak dan anak-anak kucing di Gaza. Dia siap bawa makanan kucing yang banyak ke sana.
“Disebabkan perkara itu dia sedih sampai menangis tak dapat bawa makanan kucing yang rosak itu ke sana,” katanya ketika dihubungi mStar.
Bercakap lanjut katanya Heliza sentiasa memberitahu perkembangan terkini sejak memulakan pelayaran bersama GSF.
Menurut Maadi komunikasi konsisten antara Heliza dan keluarga menjadi sumber kekuatan buat mereka yang menanti dengan penuh harapan di tanah air.
ARTIKEL BERKAITAN: Heliza dan Hazwani Helmi pula ditahan tentera Israel
ARTIKEL BERKAITAN: Yakin misi Global Sumud Flotilla akan selamat, suami Heliza Helmi tenang dapat berita isteri ditahan - "Mereka tak berani lakukan perkara ekstrem"
“Bagusnya Heliza, dia sentiasa kemas kini pada saya dan keluarga tentang apa yang berlaku. Perkara itu antara yang buat saya tenang,” ujarnya.
Heliza, 39, kini antara 15 aktivis kemanusiaan yang ditahan ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) bagi menghantar bantuan ke Gaza melalui laluan laut.
Misi ini juga bertujuan membantah sekatan berpanjangan yang dikenakan oleh rejim Zionis ke atas wilayah tersebut.
Pihak GSF bersama kerajaan Malaysia sedang menjalankan usaha diplomatik untuk memastikan pembebasan semua sukarelawan yang terlibat dalam misi berkenaan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube