suria

Suami tinggal wasiat jaga keluarga, Yatt Hamzah pesan sentiasa ‘renew’ niat

Yatt (kiri) menerima pesanan daripada suami tiga hari lalu.

PELAKON dan pengacara Yatt Hamzah mendedahkan menerima pesanan terakhir daripada suami, Mohd Zulfadhli Khiruddin tiga hari lalu sebelum ditahan oleh Angkatan Pertahanan Israel (IDF) sewaktu menjadi sukarelawan delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza. 

Dalam pesanan itu, Yatt atau Haryati Hamzah, 45, memberitahu suaminya berpesan agar dia menjaga ibu bapa dan anak-anak mereka sekiranya berlaku perkara tidak diingini. 

Kata Yatt, dia tidak tahu mengapa suaminya memberi pesanan sedemikian dan hanya berharap agar Zulfadhli pulang dengan selamat ke tanah air.

“Tiga hari lalu, suami ada tinggalkan pesanan dan kongsi tentang wasiat dengan saya. Tidak tahulah dia bergurau atau sebaliknya.

Yatt (tengah) diminta menjaga anak-anak dan ibu bapa.

“Katanya, kalau jadi apa-apa, tolong jaga ibu bapanya dan anak-anak. Saya lebih kepada tertanya-tanya sebab ini kali pertama dia tinggalkan wasiat.

“Tapi saya cakap kepadanya, dia kena balik dengan selamat ke tanah air dan pesan jangan risaukan keadaan di sini, semuanya dalam jagaan Allah. Dia hanya perlu fokus pada misi dan jaga kesihatan,” katanya. 

Sebagai tanda kasih dan ingatan, Yatt sentiasa mengingatkan suaminya agar menguatkan jiwa melalui amalan rohani.

Dia turut menasihati suami agar selalu memperbaharui niat setiap hari dan mengingatkan tujuan asal misi tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: SNCC sahkan Ardell Aryana tidak dapat dihubungi, nafi spekulasi delegasi Malaysia diseksa

ARTIKEL BERKAITAN: Heliza dan Hazwani Helmi pula ditahan tentera Israel

“Saya selalu ingatkan dia untuk berzikir, baca ayat al-Quran dan surah Yasin ayat ke-9. Jangan pernah tinggal, setiap hari kena baca.

“Selain itu, saya selalu minta dia ‘renew’ niat ke sana setiap hari dengan ingat apa tujuan asal.

“Saya juga pesan supaya jangan rasa diri wira atau penyelamat sebab ada perhatian seluruh dunia. Misi ini untuk Gaza dan jangan terbuai dengan benda duniawi,” ujarnya.

Sementara itu, Yatt menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus berdoa dan berkongsi maklumat tentang Palestin. 

“Teruskan berdoa dan kongsi segala maklumat tentang Palestin.

Yatt memohon doa orang ramai dan terus bercakap tentang Palestin.

"Jangan berhenti bercakap mengenai Gaza,” katanya.

Sebelum ini, media sosial kecoh apabila tersebar laporan berhubung penahanan 15 aktivis kemanusiaan termasuk Zulfadhli, Datin Seri Heliza dan adiknya Hazwani Helmi serta penyanyi Zizi Kirana oleh tentera Israel.

Kumpulan tersebut ditahan ketika dalam misi kemanusiaan GSF yang bertujuan menghantar bantuan ke Gaza melalui laluan laut, sekali gus mencabar sekatan tidak berperikemanusiaan yang dikenakan oleh rejim Zionis ke atas wilayah berkenaan.

Setakat ini, pihak GSF dan kerajaan Malaysia sedang berusaha mendapatkan perkembangan terkini berhubung nasib kesemua aktivis yang ditahan, termasuk menggunakan saluran diplomatik dan antarabangsa untuk memastikan mereka dibebaskan dengan segera.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain