suria

[V] Zizi Kirana sempat hantar ‘voice note’ minta maaf, nada suara penuh semangat

PELAKON Yusuf Bahrin mendedahkan isterinya yang juga penyanyi Zizi Kirana, sempat memohon maaf kepadanya menerusi kiriman audio sebelum bot yang dinaikinya dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dipintas tentera Israel.

Menurut Yusuf atau Muhammad Yusuf Bahrin, 33, Zizi memaklumkan kapal Israel sudah hampir dengan bot mereka, namun tetap tenang dan tidak menunjukkan sebarang perasaan takut.

"Mesej terakhir saya terima daripada Zizi adalah rakaman suara dia minta maaf.

Yusuf harap Zizi dalam keadaan selamat.

"Dia juga beritahu kapal Israel dah dekat dengan bot mereka, tapi itulah... nada suara dia langsung tak takut, siap boleh gelak lagi," katanya.

Yusuf berkongsi perkara itu ketika dihubungi penyampai radio Suria FM, Ajak dan Fad, dalam segmen Morning Morning Suria pada Khamis.

Mengulas lanjut, Yusuf berkata dia hanya mengetahui penyertaan Zizi dalam misi tersebut kira-kira seminggu sebelum keberangkatan. 

Katanya, keputusan itu pada mulanya mengejutkan, namun dia akur dengan semangat kemanusiaan yang tinggi dalam diri isterinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Heliza dan Hazwani Helmi pula ditahan tentera Israel 

ARTIKEL BERKAITAN: Ardell Aryana kongsi detik cemas diserang Israel - “Mereka guna kapal besar”

"Saya mulanya tak tahu. Seminggu sebelum berangkat baru dia maklumkan.

"Tapi jujurnya saya kagum dengan kekuatan dia... Saya sendiri belum tentu berani buat perkara macam itu.

"Selalunya orang kata lelaki lebih kuat, tapi dalam hal ini saya akui dia jauh lebih kuat daripada saya," ujarnya.

Yusuf turut menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan isterinya serta semua anggota GSF yang lain.

Yusuf sifatkan Zizi seorang yang kuat.

"Ahli-ahli GSF semua dah dilatih oleh ketua mereka. Saya hanya mampu berdoa agar tiada perkara buruk berlaku kepada Zizi dan mereka yang ditahan.

"Kita tahu tentera Israel ini sukar dijangka, macam-macam boleh jadi. Saya berserah kepada Allah agar Dia lindungi mereka semua," katanya dalam nada penuh harapan.

Untuk rekod, Zizi merupakan salah seorang daripada 12 aktivis Malaysia yang ditahan oleh tentera Israel ketika dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui laut.

Misi anjuran Global Sumud Flotilla (GSF) itu bertujuan mencabar sekatan tidak berperikemanusiaan yang dikenakan oleh rejim Zionis ke atas wilayah Gaza, serta menyampaikan bantuan perubatan dan makanan kepada rakyat Palestin yang terjejas.

Setakat ini, pihak GSF serta kerajaan Malaysia sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini berhubung nasib kesemua aktivis yang ditahan, termasuk menerusi saluran diplomatik dan kerjasama antarabangsa bagi memastikan mereka dibebaskan secepat mungkin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain