suria

Tissa Biani belum rancang kahwin, sepakat dengan Dul Jaelani mahu fokus kerjaya

Tissa (kiri) masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga.

PELAKON dan penyanyi Tissa Biani mendedahkan dia dan teman lelaki, Dul Jaelani masih belum merancang untuk berkahwin walaupun hubungan mereka sudah menjangkau lima tahun. 

Menurut Tissa atau Tissa Biani Azzahra, 23, keputusan itu dibuat kerana mereka mahu memberikan fokus kepada kerjaya dalam bidang seni. 

"Belum masanya untuk saya berkahwin kerana masih mahu memberikan fokus kepada kerjaya. Bukan juga tentang faktor umur yang masih muda tetapi saya dan Dul memang mahu fokus dengan kerja," katanya kepada mStar. 

Tissa mahu memberikan fokus sepenuhnya kepada kerjaya seni.

Tissa berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media tayangan perdana filem Dilanjutkan Salah Disudahi Perih yang diadakan di TGV KLCC, Kuala Lumpur pada Rabu. 

Dalam pada itu dia juga enggan terburu-buru untuk melangkah ke fasa seterusnya kerana masif aktif dalam pelbagai projek seni. 

"Bagi saya tidak perlu terburu-buru untuk berkahwin, ya kami masih muda tetapi buat masa ini memang mahu fokus pada filem dan muzik sahaja," ujarnya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Ahmad Dhani, Dul Jaelani dedah pernah berdoa hingga menangis agar diberikan teman wanita cantik dan solehah

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan dilihat murahan”... Anak Ahmad Dhani haramkan teman wanita berlakon babak mesra

Pada 27 September lalu, Tissa turut memuat naik satu hantaran di Instagram sempena ulang tahun kelima hubungan mereka sebagai pasangan kekasih. 

Dalam hantaran tersebut, Tissa meluahkan rasa syukur atas kebahagiaan yang dikecapi dan berharap agar Tuhan menyatukan mereka pada waktu yang paling tepat, bukan yang paling cepat.

Untuk rekod, hubungan pasangan ini mula mendapat perhatian ramai sejak mereka tampil secara terbuka sebagai pasangan kekasih sekitar tahun 2020.

Dul yang juga merupakan anak kepada penyanyi dan komposer terkenal Indonesia Ahmad Dhani, turut aktif dalam bidang muzik mengikut jejak langkah bapanya itu. 

Tissa dan Dul (kanan) sudah lima tahun menyulam kasih.

Dalam perkembangan lain, Tissa tampil membintangi filem Dilanjutkan Salah Disudahi Perih yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 2 Oktober ini. 

Filem ini mengangkat kisah percintaan dan isu rumah tangga yang cukup dekat dengan masyarakat iaitu ‘cina buta’.

Selain Tissa, filem ini turut dibintangi barisan pelakon termasuk Kevin Ardilova, Mikha Tambayong dan Ibrahim Risyad.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Berikut

Artikel Lain