SUSULAN berita penahanan penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi oleh tentera Israel, suaminya iaitu usahawan Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman kekal tenang dan menyerahkan segalanya kepada takdir serta usaha diplomatik yang sedang dijalankan.
Menurut Mahadi atau Mahadi Badrul Zaman, 42, dia hanya mengetahui tentang penahanan isterinya itu selepas menerima maklumat daripada perkembangan berita daripada misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang disertai Heliza.
“Sebenarnya saya baru dapat tahu dia kena tahan. Kali terakhir kami mesej adalah waktu selepas subuh tadi dan sekarang saya mesej hanya ada satu tick. Tapi apa boleh saya katakan, kita doa yang baik-baik.
Mahadi percaya Heliza akan selamat.
“Saya fikir positif sebab dia pergi secara global dan bukan individu. Tambah pula setiap negara pun ada wakil yang mereka hantar.
“Insya-Allah pihak sana (Israel) tak berani lakukan perkara ekstrem, tambah pula mereka pergi secara aman mahu hantar bantuan,” katanya ketika dihubungi mStar.
Bercerita lanjut, Mahadi menjelaskan dia yakin situasi yang berlaku masih dalam kawalan kerana kesemua ahli misi GSF terdiri daripada individu yang berpengalaman dan mempunyai latar belakang profesional dalam bidang kemanusiaan serta undang-undang.
ARTIKEL BERKAITAN: Heliza dan Hazwani Helmi pula ditahan tentera Israel
ARTIKEL BERKAITAN: Ardell Aryana kongsi detik cemas diserang Israel - “Mereka guna kapal besar”
“Apapun saya reda dan yakin mereka yang ditahan akan selamat.
“Saya juga percaya pada organisasi terlibat dalam misi ini kerana mereka ada pengalaman bila perkara sebegitu berlaku. Sama juga Heliza dan Hazwani, kedua-dua mereka pernah masuk ke Gaza sebelum ini.
“Malah ada di antara mereka merupakan peguam dan saya yakin mereka dapat atasi apa yang berlaku,” jelasnya.
Heliza dan Hazwani antara 12 individu rakyat Malaysia ditahan rejim Zionis.
Sebelum ini, media sosial kecoh apabila tersebar laporan berhubung penahanan 12 aktivis kemanusiaan termasuk Heliza dan adiknya Hazwani Helmi oleh tentera Israel.
Kumpulan tersebut ditahan ketika dalam misi kemanusiaan GSF yang bertujuan menghantar bantuan ke Gaza melalui laluan laut, sekali gus mencabar sekatan tidak berperikemanusiaan yang dikenakan oleh rejim Zionis ke atas wilayah berkenaan.
Setakat ini, pihak GSF dan kerajaan Malaysia sedang berusaha mendapatkan perkembangan terkini berhubung nasib kesemua aktivis yang ditahan, termasuk menggunakan saluran diplomatik dan antarabangsa untuk memastikan mereka dibebaskan dengan segera.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube