PENYANYI baharu Indonesia, Asrilia menyimpan hasrat untuk berkolaborasi dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Asrilia atau nama sebenarnya Asrilia Kurniati berkata, menjadi impian terbesarnya sejak kecil untuk berpadu vokal bersama Siti yang dianggap idola dalam dunia seni suara.
“Saya sangat mengagumi Siti Nurhaliza. Hampir semua lagu beliau saya suka, antaranya Aku Cinta Padamu, Bukan Cinta Biasa, Wajah Kekasih, Cindai, Seindah Biasa dan banyak lagi.
“Kalau diberi peluang berkolaborasi dengan penyanyi Malaysia, pilihan saya tentu sekali Siti kerana bakat dan kehebatannya memang tidak boleh dinafikan.
"Saya percaya bukan saya seorang, malah ramai penyanyi Indonesia turut mengaguminya,” katanya.
Asrilia sedia menerima sebarang kecaman daripada netizen.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Di Mana Salahnya dan Semakin Rindu Kemarin itu turut mengakui menyimpan hasrat untuk dikenali di Malaysia.
“Indonesia dan Malaysia ini satu rumpun. Jadi saya mahu gunakan peluang yang ada untuk berkongsi bakat di Malaysia.
“Sebagai langkah pertama, saya merakamkan semula lagu Terima Kasih Cinta nyanyian asal Afgan kerana saya tahu lagu ini cukup popular di sini.
“Tiada niat menumpang populariti, sebaliknya saya hanya mahu mempersembahkan bakat yang ada. Tambahan pula ia memberi kelainan apabila penyanyi wanita menyanyikan lagu berkenaan.
“Saya berharap versi Terima Kasih Cinta nyanyian saya dapat diterima di Malaysia dan menjadi titik permulaan untuk dikenali di sini,” ujarnya.
ARTIKEL BERKIATAN: Chacha Trisha bukan jenis lemah lembut, jadikan Ara Johari sebagai idola
ARTIKEL BERKAITAN: Afgan pernah lalai, kembali dekat dengan Tuhan selepas bergelar haji
Dalam pada itu, Asrilia menegaskan dirinya bersedia menerima sebarang kritikan atau komen netizen termasuk berkaitan gosip.
"Sebagai artis kita perlu menerima hakikat bahawa setiap tindakan boleh ditafsir dengan pelbagai andaian.
“Kalau niat kita disalah anggap, itu perkara biasa. Tidak perlu cepat melatah kerana kita sendiri yang memilih kerjaya ini.
“Selain berkongsi bakat, kita juga perlu bersedia secara fizikal dan mental menghadapi sebarang kemungkinan.
“Pendek kata, publisiti baik atau buruk tetap kena hadap kerana itu jalan yang kita pilih. Asalkan kita tidak melakukan perkara melibatkan jenayah,” katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube