suria

Sel kanser kembali aktif, Adzrin Azhar tak mahu tunjuk lemah... “Dah merebak ke hati, payudara dan ovari”

Adzrin disahkan kembali menghidap kanser.

PENYANYI dan guru vokal Adzrin Azhar mendedahkan sel kanser kembali menyerang dan kini merebak ke bahagian hati, payudara dan ovari. 

Kata Adzrin, 40, dia mula mengesan penyakit itu sekitar Mei lalu selepas melakukan pemeriksaan di sebuah pusat kesihatan kerana mengalami masalah vertigo. 

Meskipun sedih mendapat khabar berkenaan, namun dalam reda penyanyi itu bersyukur kerana masih berada di tahap satu. 

Adzrin sentiasa positif melawan penyakit kanser. 

"Awalnya saya mahu derma darah, tetapi dimaklumkan magnesium tak cukup. Kemudian saya alami vertigo dan pergi dapatkan rawatan. 

“Keputusan ujian darah ketika itu mengesahkan kanser telah merebak ke hati, ovari dan payudara bahagian kanan. 

"Sekarang ini saya masih mengambil ubat selain aktif melakukan senaman. 

ARTIKEL BERKAITAN: Adzrin Adzhar diherdik pelakon veteran, siap pengaruh produksi gugur nama jadi pengajar… Tak setanding sebab dah 5 dekad dalam industri 

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi 'Pujaan Malaya' - Adzrin Adzhar bebas kanser ovari

“Bohong kalau katakan saya tidak sedih, tetapi syukur ia dapat dikesan awal. Jadi saya boleh lawan penyakit ini dengan cara sendiri," katanya ketika dihubungi mStar. 

Menurut Adzrin dia juga mendapatkan nasihat pakar untuk melakukan pembedahan membuang bahagian yang terkena kanser apabila usia meningkat. 

Bercerita tentang keadaan dirinya l, Adzrin akui ia tidak seperti kali pertama dia disahkan menghidap kansert ovari sekitar tahun 2015 dahulu. 

Tetapi saya perlu kuat berdepan semua ini

ADZRIN AZHAR 

PENYANYI

Biarpun begitu, dia tidak mahu penyakitnya itu menghalang daripada terus melakukan aktiviti harian termasuk menjalankan tugas sebagai seorang guru vokal. 

"Kali ini memang sedikit mengganggu kerja harian sebab saya sering sakit perut dan pening kepala sehingga muntah. Tetapi saya perlu kuat berdepan semua ini. 

"Saya seorang guru vokal dan selalu berkongsi tentang muzik. Kalau boleh tak mahu bertukar arah cerita tentang kanser pula," ujarnya. 

Adzrin reda atas setiap ujian atas dirinya. 

Dalam masa sama, Adzrin juga sedar dia mempunyai tanggungjawab sebagai ibu dan mahu sentiasa memastikan anak-anaknya tidak terabai. 

Ketika berusaha melawan penyakit itu, Adzrin banyak mengambil inspirasi penghidap lain yang berjaya pulih. 

"Ada seorang sahabat yang disahkan menghidap kanser tahap empat. Dia aktif melakukan aktiviti lasak seperti berbasikal dan mendaki gunung. Apabila melakukan pemeriksaan, sel kanser menurun. Jadi saya mahu lawan seperti dia. 

"Saya juga tidak boleh tunjuk lemah di hadapan anak-anak. Mereka tidak sepatutnya faham akan sakit ini," luahnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain