suria

Marsha Milan tangguh lancar MV, seru doa buat Global Sumud Flotilla

Marsha hormati isu yang sedang hangat diperkatakan.

PENYANYI Marsha Milan membuat keputusan untuk menangguhkan pelancaran muzik video lagu terbaharunya berjudul Tangisan Seorang Pendosa yang dijadual pada Jumaat. 

Ia dibuat sebagai tanda menghormati perjuangan sejumlah peserta kumpulan misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini sedang berada di bawah tahanan tentera Israel ketika mereka dalam perjalanan menuju ke Gaza, Palestin. 

Bagi Marsha, apa yang lebih penting buat masa sekarang adalah semangat bersatu-padu antara semua untuk terus memberi sokongan terhadap isu yang sedang diperkatakan. 

Pengumuman Marsha di Instagram. 

"Pada waktu ini marilah kita bersatu berdoa memohon keselamatan, kesihatan yang baik dan kelancaran untuk rakyat Malaysia serta rakan-rakan dalam Global Sumud Flotilla," katanya. 

Marsha berkongsi pengumuman itu di Instagram miliknya pada Jumaat. 

Difahamkan muzik video lagu tersebut bakal dilancarkan di saluran YouTube Alternate Records & Talents pada pukul 8 malam. 

ARTIKEL BERKAITAN: Marsha pernah diberi pilihan tinggalkan karier, mujur suami tak bantah terus menyanyi 

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi foto hidung berdarah, Marsha Milan rupanya alami masalah suara

Penyanyi ini dalam masa sama sempat menitipkan doa agar semua tahanan dalam keadaan selamat dan dapat kembali ke negara masing-masing. 

"Semoga Allah melindungi, memberi kekuatan dan kembalikan mereka dengan selamat ke pangkuan keluarga serta tanah air," luahnya. 

Sejak Khamis,  heboh tentang serangan tentera Israel terhadap kapal GSF ketika mula memasuki zon merah bagi misi menghantar bantuan untuk rakyat di Gaza. 

Ramai memuji tindakan Marsha tangguh lancar MV. 

Seramai 23 orang sukarelawan Malaysia yang menyertai misi berkenaan kini berada di bawah tahanan tentera Zionis. 

Antara mereka termasuk penyanyi Zizi Kirana, pelakon Ardell Aryana serta pasangan adik-beradik Datin Seri Heliza dan Hazwani Helmi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain