PASANGAN selebriti, Neelofa dan PU Riz menerima kecaman hebat di media sosial selepas didakwa mengenakan bayaran tinggi bagi kelas agama yang dianjurkan mereka.
Rata-rata netizen melahirkan rasa tidak puas hati dan beranggapan kuliah agama sepatutnya diadakan secara percuma atau sekadar menerima sumbangan seikhlas hati.
Lebih mengejutkan apabila ada yang mendakwa yuran dikenakan mencecah sehingga RM850 untuk seorang sekali gus menimbulkan perdebatan hangat di media sosial.
“Dulu kalau kuliah majlis agama, tiada bayaran. Memang percuma atau bagi sedekah. Ada juga penganjur yang kenakan bayaran yang sewajarnya. Tetapi ini mereka tapau RM850.
Antara komen-komen negatif yang ditinggalkan netizen.
“Kau rasa ilmu apalah sangat dia ajar. Memang tak boleh dengan dia ini. Memang aku boikot. Ini kawan aku hantar sekadar buat lawak. Jom belajar ilmu termahal,” luah seorang pengguna di aplikasi Threads.
Perkongsian itu pantas menjadi tular dan mengundang pelbagai reaksi, termasuk pengalaman mereka yang pernah menghadiri program berbayar pasangan berkenaan.
“Saya pernah pergi siap ajak suami. Saja nak dengar, nak rasai pengalaman. Kami beli harga platinum sebab nak selesa, tapi sungguh tak berbaloi ye dengan makanan dan goodies serta segala masa acara dia. Baik buka YouTube. Ramai je peminat dia, tapi untuk kita yang tidak mengidolakan dia memang satu pembaziran, " tulis seorang pengguna akaun di ruangan komen.
ARTIKEL BERKAITAN: Neelofa, PU Riz sudah jumpa polis... tapi maklumat belum cukup
ARTIKEL BERKAITAN: Titip ucapan manis sempena hari jadi, Neelofa insan hebat terpahat di hati PU Riz
Meskipun ada yang bersetuju dengan pandangan ilmu agama wajar dibayar, namun cara Neelofa dan PU Riz atau Haris Ismail menganjurkan kelas berkenaan dikatakan tidak kena pada tempatnya.
“Minta maaf. Saya antara orang yang sokong kena bayar ilmu agama. Asatizah dan ustaz layak menerima bayaran. tetapi ini minta maaf sangat sebab memang menunggang agama. Apa istimewa tentang mereka. Bukan tahap alim ulama mana pun. Hanya ustaz biasa.
"RM850 hanya untuk masuk? Mungkin kami bukan sasaran sebenar, tetapi menggunakan agama sebagai cara untuk meraih keuntungan? PU Riz dan Neelofa boleh buat lebih baik daripada ini," tulis beberapa netizen.
Difahamkan bayaran RM850 yang dikenakan bagi setiap peserta itu hanya terhad kepada 45 orang dan diadakan secara tertutup pada 30 Ogos lalu di Bangsar, Kuala Lumpur.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube