suria

30 tahun bergelar anak seni, Siti Nurhaliza hadiahkan konsert mega di Stadium Nasional Bukit Jalil

Siti sudah merakamkan lebih 20 buah album sepanjang bergelar anak seni.

MERAIKAN perjalanan seni selama tiga dekad, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal mencipta satu lagi sejarah baharu menerusi konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 10 Januari 2026. 

Konsert bersakala mega itu bakal menjadi kemuncak sambutan 30 tahun penglibatan Siti Nurhaliza dalam dunia seni yang bukan sahaja menandakan dedikasi, cinta dan keikhlasan beliau terhadap muzik tetapi juga mengangkat warisan seni Malaysia ke persada antarabangsa.

Menurut penganjur SN Legacy Sdn Bhd menegaskan penganjuran konsert berkenaan di stadium ikonik itu bukan bertujuan memecah rekod kehadiran 70,000 penonton Konsert Fantasia Tour 2004, sebaliknya sebagai satu perancangan yang teliti bagi memberi pengalaman konsert yang selesa, epik dan penuh makna kepada semua peminat.

Siti mahu meriakan 30 tahun bersama peminat.

"Dengan kapasiti kira-kira 60,000 penonton, Stadium Nasional Bukit Jalil dipilih sebagai lokasi terbaik untuk menghimpunkan para peminat dan pencinta seni dari seluruh negara dan rantau Asia," katanya.

Sementara itu, Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata konsert Legacy 30 bukan sahaja menjadi persembahan bersejarah tetapi manifestasi rasa syukur dan cinta beliau kepada peminat yang telah menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan kariernya.

"Legacy 30 bukan sekadar konsert tetapi sebuah simbol perjalanan, pengorbanan dan kejayaan seni saya sepanjang 30 tahun.

''Saya mahu peminat yang selama ini menyokong saya dapat bersama-sama meraikan detik istimewa ini, menyelami semula karya-karya yang telah menjadi sebahagian daripada kenangan dan sejarah karier,'' katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza puji Fajar Noor, jadi pilihan antara artis Indonesia digemari

ARTIKEL BERKAITAN: Asrilia impi duet dengan Siti Nurhaliza, mahu dikenali di Malaysia

Lebih menarik lagi apabila penganjuran konsert ini juga tepat pada waktunya kerana berlangsung seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026. 

Momentum ini diharap dapat menarik kehadiran peminat Siti Nurhaliza dari pelbagai negara untuk datang ke Malaysia, menikmati keindahan muzik, seni dan budaya tempatan, sekali gus menyokong usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya dan hiburan yang bertaraf dunia.

Tiket konsert sudah dijual sejak semalam dengan harga bermula RM69 hingga RM1,599. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain