PELAKON Datuk Aaron Aziz tampil menjawab salah faham yang timbul susulan satu klip temu bualnya yang tular dan didakwa menyentuh tentang misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 49, berkata, kenyataannya dalam temu bual tersebut tidak ada kena-mengena dengan misi GSF, seperti yang didakwa oleh seorang pempengaruh media sosial baru-baru ini.
"Assalamualaikum, di sini saya meminta anda (pempengaruh) untuk tengok dan dengar video temu bual yang sepenuhnya.
"Saya tak sebut pun fasal Sumud Flotilla. Soalan yang diberi adalah 'Apa pendapat datuk (gelaran Aaron) tentang artis yang tidak kongsi atau tak bersuara tentang genocide di Gaza?'. Terima kasih," katanya.
Dwi Ariana (kiri) mempertahankan bapanya daripada difitnah.
Aaron berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Jelas Aaron lagi, sesi temu bual itu berlangsung dua minggu lalu dan dia sama sekali tidak pernah berniat untuk memperkecilkan usaha mana-mana pihak dalam menyokong Palestin.
"Jadi jangan fitnah saya anda jawablah di akhirat nanti. Saya orang Islam takkanlah saya tak sokong Gaza dan ia adalah tentang kemanusiaan.
"Sesi temu bual ini pun berlaku dua minggu lalu dan ya sudah tentu kita kena bersuara untuk Gaza walau apa pun berlaku," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Aaron Aziz reda tak dapat semula RM90,000, agensi umrah pun dah tutup... Niat bantu jemaah
ARTIKEL BERKAITAN: Aaron Aziz nafi tutup rezeki agensi pengurusan haji dan umrah... “Saya tidak mahu orang berdaftar dianiaya”
Sementara itu, anak kedua Aaron iaitu Dwi Ariana turut mempertahankan aktor berkenaan dengan memberitahu kenyataan bapanya itu tiada kaitan dengan misi kemanusian tersebut.
Malah ujar Dwi Ariana, Aaron sudah lama bergelar artis dan tidak mungkin bapanya itu enggan menyebarkan kesedaran kepada masyarakat umum.
"Kenyataan dia (Aaron) sebelum ini tiada kaitan dengan Sumud Flotilla. Daripada terus memecah-belahkan masyarakat lebih baik awak (pempengaruh) berkongsi pengisian lebih berfaedah.
"Bapa saya sudah lama di dalam industri (hiburan), takkan dia begitu bodoh untuk memberitahu kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan kesedaran?
"Bapa saya sentiasa menunjukkan sokongan kepada Gaza dan dia tidak perlu buktikan apa-apa di media sosial," katanya.
Sebelum ini, Aaron berkongsi pendapat golongan selebriti atau pempengaruh media sosial tidak wajar dipaksa untuk bersuara isu Gaza demi memenuhi permintaan netizen.
Perkongsian yang dimuat naik oleh seorang pempengaruh di Instagram.
Kata Aaron, diam tidak bermakna individu terbabit tidak menyokong perjuangan rakyat Palestin kerana mungkin mereka memilih untuk menyalurkan bantuan secara senyap.
Malah pelakon filem Sheriff: Narko Integriti ini turut menegur sikap segelintir pihak yang hanya bersuara apabila sesuatu isu tular demi meraih perhatian.
Kenyataan Aaron itu bagaimanapun disalah anggap apabila seorang pempengaruh media sosial menyelar tindakan aktor berkenaan dan menjelaskan tujuan utama mereka bersuara bagi perjuangan GSF bukan untuk meraih perhatian ramai.
Susulan itu, ramai netizen mahu memboikot Aaron kerana mendakwa pelakon tersebut memperlekehkan usaha masyarakat yang menyokong gerakan GSF.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube