suria

Ibu Misha Omar dikejar ke hospital gara-gara beli ubat di media sosial

Misha syukur ibunya dapat rawatan segera.

IBU kepada penyanyi popular, Misha Omar iaitu Zainan Mat. Nor terpaksa dikejarkan ke unit kecemasan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HUKM) beberapa hari lalu akibat tekanan darah dan paras gula dalam darah yang terlalu tinggi.

Menurut Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aishah Omar, 43, ibunya mempunyai masalah kesihatan sejak dahulu namun keadaan menjadi lebih serius selepas mengambil makanan tambahan yang dibeli melalui media sosial tanpa pengetahuan anak-anak.

“Beberapa hari lalu ibu saya dikejarkan ke unit kecemasan HUKM gara-gara gula dalam darah dan tekanan darah terlampau tinggi sehingga pergi ke klinik tak boleh nak dirawat sehingga perlu bawa ke hospital.

Misha kongsi keadaan ibu ketika dikejarkan ke hospital.

“Mak saya ini memang ada kencing manis dan darah tinggi serta kesihatan dia memang dipantau oleh doktor pakar yang merawatnya di klinik.

“Apa yang berlaku pada ibu saya dia berani cuba-cuba makan makanan tambahan yang dibeli sendiri daripada media sosial dan akhirnya mengakibatkan tekanan darah terlalu tinggi,” katanya.

Misha berkongsi perkara tersebut menerusi Instastory miliknya pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Nama kena petik, Misha Omar bukan penyanyi wanita Kelantan ditahan polis bersama pil kuda

ARTIKEL BERKAITAN: “Berjaya melewati ‘hitam-putih’ 20 tahun sebagai penghibur” - Misha Omar umum tarikh konsert mega

Tambah penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta itu, doktor turut mengesan kecederaan pada buah pinggang ibunya itu.

Dia bagaimanapun bersyukur apabila masalah tersebut segera disedari sebelum kejadian lebih buruk berlaku.

“Paling penting sekali mengakibatkan kecederaan di buah pinggang, jadi kami sangat risau dengan keadaan itu dan bayangkan kalau terlambat hantar ke hospital dia mungkin akan lebih teruk berkemungkinan strok, serangan jantung dan sebagainya.

“Buat masa sekarang kesihatan ibu saya sedang dipantau oleh doktor dan sedang berehat dan keutamaan kami adalah memastikan kesihatan dia kembali sembuh,” ujarnya.

Misha pesan agar anak-anak memantau pengambilan ubat ibu bapa.

Dalam pada itu, Misha turut menitipkan pesanan kepada orang ramai yang mempunyai ibu bapa seusia ibunya agar sentiasa memantau pengambilan ubat-ubatan serta makanan tambahan.

“Bila kita ada ibu bapa yang seusia ibu bapa saya ini, kalau boleh anak-anak pantau. Sekiranya mereka mengambil makanan tambahan perlu dapat kebenaran daripada doktor yang merawat mereka.

“Saya bukan menidakkan ubat yang dijual di media sosial itu tidak bagus tapi itulah sebagai anak-anak kita kena pantau dan kadang-kadang ibu bapa tidak buat depan kita, itulah yang berlaku,” kongsinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain