PELAKON Datuk Aaron Aziz dilaporkan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa terlibat dalam buli siber dan penyebaran fitnah ke atas dirinya dan keluarga.
Perkara itu dimaklumkan oleh isterinya, Datin Diyana Halik yang meluahkan rasa tertekan dan sedih dengan situasi berlaku, terutama apabila ia turut memberi kesan mendalam buat suami serta anak-anak mereka.
"Semoga Allah mempermudahkan semua urusan kami. Ya Allah lindungilah keluarga kami daripada fitnah dajjal, fitnah hidup dan mati.
"Ia merupakan dua hari yang sangat tertekan buat saya. Selalunya saya akan minta suami untuk abaikan sahaja, tetapi memandangkan anak-anak dan suami sangat terkesan dengan perkara ini, saya rasa ini adalah pilihan yang terbaik.
"Sayang, tak mengapa untuk menunjukkan kelemahan, awak juga seorang manusia. Saya sayang awak," katanya.
Diyana berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Ahad.
Menurut Diyana, semangat Aaron juga runtuh dengan segala tekanan dan kecaman yang terpaksa dihadapi ketika ini.
"Suami saya adalah tunjang kekuatan dalam keluarga kami. Melihat dia rebah dan dipujuk oleh anak bongsu kami benar-benar menyayat hati.
ARTIKEL BERKAITAN: Aaron Aziz perjelas salah faham isu Gaza, minta netizen tonton video temu bual penuh
ARTIKEL BERKAITAN: Aaron Aziz reda tak dapat semula RM90,000, agensi umrah pun dah tutup... Niat bantu jemaah
"Melihat kedua-dua anak saya menangis dari jauh membuatkan kami rasa begitu tidak berdaya. Ia adalah detik hari jadi yang menyedihkan buat Danish," ujarnya.
Dalam hantaran sama, Diyana turut meminta orang ramai agar menyalurkan maklumat sekiranya menemui sebarang bentuk buli, fitnah atau kandungan berunsur penghinaan yang melibatkan suaminya.
"Tolong kongsikan dengan saya jika ada lagi sebarang perbuatan buli, fitnah atau hantaran berunsur penghinaan yang anda semua jumpa.
Perkongsian yang dimuat naik oleh seorang pempengaruh di Instagram.
"Ya, saya memang sudah ada banyak (bukti), tetapi lebih banyak lebih bagus, terutamanya jika melibatkan mana-mana pempengaruh yang turut berkongsi semula dan memberikan komen. Terima kasih," katanya.
Terdahulu, tular satu video suntingan yang menunjukkan seolah-olah aktor asal Singapura itu mempertikaikan tindakan aktivis kemanusiaan GSF, sekali gus membuatkan netizen mengecamnya
Bagi mengelakkan lebih ramai ‘termakan’ fitnah tersebut, Aaron meminta netizen menonton rakaman penuh temu bual berkenaan berbanding mempercayai rakaman yang dimanipulasi.
Jelas Aaron, sesi temu bual itu berlangsung dua minggu lalu dan sama sekali tidak pernah berniat untuk memperkecilkan usaha mana-mana pihak dalam menyokong Palestin.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube