JUARA program Kilauan Emas 2025 iaitu Mazleen belum terfikir untuk meninggalkan kerjaya sebagai Pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor walaupun pintu rezeki dalam industri hiburan semakin terbuka luas.
Mazleen atau nama sebenarnya Mazlin Abu Bakar, 45, berkata dia amat menyayangi kerjaya tersebut dan tidak melihat sebarang keperluan untuk bersara dalam masa terdekat.
"Saya akan terus berkhidmat kerana kerja itu hanya melibatkan tetamu terhormat (VVIP). Jadi susunan kerja selepas ini jika ada tawaran menyanyi saya akan berkomunikasi dahulu dengan pihak jabatan untuk dapatkan nasihat.
Mazleen kongsi perancangannya selepas menang.
"Saya sayang kerjaya yang ada dan akan terus berkhidmat dengan pancaragam tersebut. Insya-Allah selepas ini akan ada yang menguruskan kerjaya saya.
“Dah lama saya teringin nak berada dalam industri dan saya gembira kerana mereka nampak bakat saya," katanya kepada mStar.
Mazleen berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas selesai program realiti Kilauan Emas 2025 yang berlangsung di Royale Theatre, Shah Alam, pada malam Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi pancaragam juara Kilauan Emas 2025
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada istilah percubaan, Elly Mazlein mula berhijab... Suami cium dahi tanda sokongan
Mazleen yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 memberitahu, dia masih belum membuat sebarang perancangan mengenai wang kemenangan tersebut.
Jelasnya, kemenangan itu terlalu mengejutkan kerana niat asalnya hanyalah untuk memenuhi permintaan bapanya, Abu Bakar Ahmad yang mahu melihatnya menyertai pertandingan tersebut.
Dari usia sembilan tahun dia sudah nampak bakat saya.
MAZLEEN
JUARA KILUAN EMAS2025
"Saya tak fikir lagi, saya juga masih terkejut kerana niat saya ke sini hanya penuhi permintaan ayah dia kata sampai peringkat akhir pun sudah okay.
"Tapi dia pula tak dapat datang malam ini dan minta saya enjoy buat persembahan selain tunjukkan kemampuan yang ada,” katanya.
Mazleen berkata minat dan bakatnya dalam nyanyian sudah mula disedari bapanya sejak kecil lagi, malah sentiasa mendapat sokongan penuh daripada keluarga.
Mazleen sebak apabila dinobatkan sebagai juara.
"Ayah saya dia tidak pandai menyanyi tapi dia bertindak sebagai pengurus band dan kugiran. Dari usia sembilan tahun dia sudah nampak bakat saya. Masa itu lagu pertama Norshila Amin berjudul Kad Ucapanku," kongsinya.
Pada malam Sabtu, Mazleen dinobatkan sebagai juara Kilauan Emas 2025 sekali gus menewaskan lima finalis lain iaitu Ezan, Majid, Nawary, Zanie dan Zekrai.
Kemenangan tersebut membolehkan Mazleen membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30,000, trofi, pakej umrah serta percutian ke Dubai, UAE.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube