suria

Tanda terima kasih, Afdlin Shauki sampaikan jambangan bunga kepada Kedutaan Turkiye

Afdlin mengambil inisiatif menunjukkan penghargaan kepada Kerajaan Turkiye.

PENGARAH dan pelakon Datuk Afdlin Shauki menyampaikan jambangan bunga kepada kakitangan di Pusat Bahasa dan Budaya, di bawah Kedutaan Turkiye di Malaysia pada Ahad sebagai simbol penghargaan dan terima kasih rakyat terhadap keprihatinan kerajaan Turkiye.

Pemberian ikhlas itu sebagai penghormatan atas peranan penting Kerajaan Turkiye dalam mempermudahkan perjalanan pulang sukarelawan Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla baru-baru ini.

Menerusi rakaman video yang dikongsi oleh Astro Awani di laman TikTok, jambangan bunga itu dipercayai disampaikan melalui inisiatif Yayasan Afdlin Shauki.

Yayasan Afdlin Shauki mengambil inisiatif memberi penghargaan sebagai tanda persahabatan.

Dalam hantaran sama, Afdlin atau Afdlin Shauki Aksan, 54, dilihat membuat panggilan kepada seorang individu dipercayai wakil kepada Kedutaan Turkiye di Malaysia. 

"Kami mengambil keputusan untuk datang ke sini untuk mengucapkan terima kasih. Kami hanya mahu menunjukkan rasa syukur sebagai rakyat Malaysia kerana kerajaan Turkiye membantu sukarelawan kami pulang ke tanah air dengan segera. 

"Kami tidak dapat meluahkan dengan kata-kata, tetapi terima kasih atas hubungan persahabatan ini," katanya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Ada kemungkinan tudung Ardell Aryana turut dirampas tentera Israel… “Cuba perhati hijabnya”

ARTIKEL BERKAITAN: Dilayan macam binatang, Hazwani Helmi saksi kekejaman rejim Zionis depan mata

Bagaimanapun, usaha mStar mendapatkan kenyataan lanjut daripada Afdlin tidak berjaya apabila panggilan dan mesej dihantar tidak dijawab. 

Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 42 flotilla kemanusiaan dipintas tentera Israel, mengakibatkan 201 aktivis dari 36 negara ditahan, termasuk 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF.

Antara sukarelawan terlibat termasuk penyanyi Zizi Kirana, Datin Seri Heliza Helmi dan Ardell Aryana.

Kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF telah tiba di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan pada Sabtu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain