suria

Dilayan macam binatang, Hazwani Helmi saksi kekejaman rejim Zionis depan mata

SEBAIK sahaja selamat mendarat di Istanbul, Turkiye, adik kepada aktivis Heliza Helmi iaitu Hazwani berkongsi kekejaman rejim Zionis terhadap tahanan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF).

Hazwani, 29, yang merupakan salah seorang daripada 23 peserta GSF dari Malaysia mendedahkan dia menerima layanan tidak berperikemanusiaan ketika ditahan oleh Angkatan Tentera Israel (IDF).

"Ia memang teruk. Apa yang boleh saya katakan, mereka (tentera Israel) layan kami seperti binatang. Kami tidak diberi makanan dan minuman bersih," katanya memetik dalam temu bual bersama Al Jazeera.

Video Sos Heliza (kiri) bersama Hazwani semasa ditahan.

Tambah Hazwani, tentera rejim Zionis itu turut merampas ubat-ubatan serta barangan peribadi termasuk dokumen penting milik sukarelawan.

"Sampai sekarang kami masih belum dapat semula barangan kami. Dunia perlu tahu kekejaman mereka. Mereka sangat kejam!," katanya lagi.

Dalam pada itu, Hazwani turut menyatakan rasa trauma apabila melihat sendiri layanan kasar terhadap aktivis alam sekitar dari Sweden, Greta Thunberg yang turut menjadi mangsa kekejaman tentera Israel.

ARTIKEL BERKAITAN: Heliza dan Hazwani Helmi pula ditahan tentera Israel

ARTIKEL BERKAITAN: Ardell Aryana kongsi detik cemas diserang Israel - “Mereka guna kapal besar”

Difahamkan, Greta, 22, yang menghidap sindrom Asperger masih dalam tahanan sementara menunggu kerajaan Sweden berusaha membawanya pulang melalui saluran undang-undang.

"Saya teringat bagaimana mereka menyeretnya (Greta) dengan kasar dan menekap bendera Israel di wajahnya. Mereka melayannya seperti binatang," kongsinya.

Keadaan Greta dikatakan sangat membimbangkan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan 23 sukarelawan GSF dari Malaysia dibebaskan dari tahanan dan selamat tiba di Istanbul.

Mereka juga akan menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapat sokongan psikologi penuh daripada pihak berkuasa Turkiye.

Kesemua mereka dijangka tiba di Malaysia pada malam Ahad atau Isnin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain