suria

Penyanyi pancaragam juara Kilauan Emas 2025

Mazleen (paling kiri) merupakan juara Kilauan Emas 2025.

SELEPAS lapan minggu bertarung penyanyi Pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Mazleen muncul sebagai juara program Kilauan Emas 2025 yang berlangsung di Royale Theatre, Shah Alam pada malam Sabtu.

Kemenangan itu sekali gus membuktikan kehebatan Mazleen yang berjaya menewaskan lima peserta peringkat akhir iaitu Ezan, Majid, Nawary, Zanie dan Zekrai.

Mazleen membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30,000, sebuah trofi, pakej umrah dan pakej percutian ke Dubai, UAE.

Kilauan Emas 2025 menutup tirai pada malam Sabtu.

Dalam ucapan kemenangannya, dia bersyukur apabila juri dan ahli keluarga melihat bakatnya di pentas Kilauan Emas 2025. 

"Terima kasih mak ayah yang nampak bakat saya, termasuk keluarga yang menyokong. Tak terungkap dengan kata-kata apabila mereka nampak bakat saya," katanya.

Dia juga dilihat mengalirkan air mata dan sebak sejurus diumumkan sebagai juara Kilauan Emas 2025.

ARTIKEL BERKAITAN: Elly Mazlein buat kejutan, tampil bertudung di pentas akhir Kilauan Emas 2025

ARTIKEL BERKAITAN: Juara Kilauan Emas 2024 mahu guna wang kemenangan RM30,000 bayar hutang, baru tenang hati tunai umrah

Pada peringkat akhir, Mazleen membawakan lagu Bertemu Di Kalbu nyanyian asal Jaclyn Victor.

Bagi pusingan duet, Mazleen berduet dengan Arip Kilauan Emas musim keempat dengan lagu berjudul Naluri Cinta yang pernah dipopularkan oleh Allahyarhamah Rohana Jalil dan To'Ki.

Naib juara pula dimenangi  Zekrai yang memenangi RM10,000, trofi, pakej umrah dan percutian ke Bali, Indonesia.

Tempat ketiga pula disandang Nawary yang membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi serta pakej percutian ke Danang, Vietnam.

Tempat keempat pula dimenangi oleh Zanie manakala tempat kelima menjadi milik Ezan selain Majid berjaya menempatkan diri di kedudukan keenam.

Masing-masing tidak pulang dengan tangan kosong apabila menerima wang tunai sebanyak RM3,000 berserta trofi sumbangan Astro.

Dua dari kanan: Datuk Yusof Haslam sebagai juri jemputan Kilauan Emas 2025.

Sementara itu, Anugerah Emas Berkilau of The Week menjadi milik Majid selepas memberikan persembahan memukau.

Kilauan Emas dihoskan oleh Elly Mazlein sebagai pengacara program utama manakala pelawak dan pelakon Joey Daud sebagai pengacara belakang pentas dan diari Kilauan Emas.

Program berkenaan juga menampilkan Erra Fazira, Ning Baizura dan Roy Azman sebagai juri tetap serta Datuk Yusof Haslam sebagai juri undangan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain