PENAMPILAN terkini pelakon dan pengacara terkenal, Elly Mazlein yang tampil berhijab ketika mengacarakan pentas akhir Kilauan Emas 2025 pada malam Sabtu mencuri perhatian ramai.
Rata-rata netizen memuji kecantikan Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, selain mendoakan agar dirinya kekal istiqamah selepas memilih untuk menutup aurat sepenuhnya.
Ditanya mengenai penampilan terbaharunya, Elly bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai keputusannya itu, namun berharap agar semua pihak dapat mendoakan yang terbaik buat dirinya.
Elly tersenyum ketika ditanya mengenai penampilan barunya.
"Apa yang boleh saya beritahu di sini doakan yang baik buat saya dan sudah tentu saya pun nak yang terbaik. Jadi doakan yang baik-baik.
"Tiada istilah percubaan, Insya-Allah saya akan buat perlahan-lahan," katanya kepada mStar.
Elly berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas selesai program realiti Kilauan Emas 2025 yang berlangsung di Royale Theatre, Shah Alam, pada malam Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: Elly Mazlein buat kejutan, tampil bertudung di pentas akhir Kilauan Emas 2025
ARTIKEL BERKAITAN: Selepas dua tahun, Elly Mazlein dikhabarkan bakal undur diri sebagai penyampai Era FM
Mengulas lanjut, Elly berkata suaminya, Mohamad Azlan Che Nuh, merupakan individu pertama yang mengetahui tentang keputusan tersebut dan menyambutnya dengan penuh rasa bahagia.
"Suami adalah orang pertama yang tahu. Dia cium dahi saya tanda dia sangat bahagia dengan keputusan saya. Terima kasih sayang, terima kasih papa (panggilan kepada suami)," luahnya.
Dalam masa sama, Elly mengakui semangat juang ditunjukkan oleh para sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Palestin turut menyentuh hati dan memberi keinsafan yang mendalam kepadanya.
Kadang-kadang jihad seseorang itu membuat kita terasa insaf.
ELLY MAZLEIN
PELAKON/PENGACARA
Katanya, keberanian yang dimiliki sukarelawan misi itu cukup berani dan perlu menjadi contoh kepada semua orang.
"Kadang-kadang jihad seseorang itu membuat kita terasa insaf dan sangat hebat terutama rakan-rakan kita yang mengikuti GSF. Mereka sangat hebat!
"Saya mengharapkan kita semua sama-sama kuat. Doakan yang baik supaya mereka selamat sampai ke tanah air," ujarnya.
Penampilan manis bertudung Elly raih perhatian.
Tambahnya, Elly turut menegur segelintir pihak yang tidak habis-habis mencari silap mengenai usaha murni peserta GSF.
"Saya juga mohon di sini hentikan kata bukan-bukan, usaha mereka cukup baik mengapa mesti kita mematahkan semangat dan keluarkan kata-kata tidak cerdik.
"Tak payah persoalkan itu dan ini. Daripada kita sibuk persoalkan lebih baik doakan untuk mereka yang berjuang," ujarnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube