suria

Afgan kembali temui peminat Malaysia dengan ‘Retrospektif Showcase’ Disember ini

Afgan bakal mengadakan showcase pada Disember depan.

PENYANYI Afgan kembali menemui peminat di Malaysia menerusi persembahan istimewa 'Afgan Retrospektif Showcase' yang bakal berlangsung pada 5 Disember ini  di Zepp Kuala Lumpur. 

Persembahan istimewa itu dibuat bertepatan dengan pelancaran album terbaharu Afgan yang turut diberi judul Retrospektif. 

Menurut Afgan atau Afgansyah Reza, 36, judul itu dipilih sebagai cerminan perjalanan hidup dan kerjanya sepanjang beberapa tahun ini. 

Afgan muncul dengan album baharu berjudul Retrospektif.

"Makna Retrospektif bagi saya adalah momen untuk melihat kembali apa yang sudah terjadi di masa lalu, menjadikannya bahan pelajaran untuk terus berkembang sebagai manusia yang lebih baik. 

"Album baharu ini benar-benar mewakili idea itu. Saya melihat kembali perjalanan hidup saya beberapa bulan terakhir, belajar daripada peningkatan yang terjadi, dan akhirnya lahirlah album ini," katanya. 

Berkongsi lanjut, Afgan memaklumkan album Retrospektif ini membawa nilai sentimental kerana ia merupakan album penuh berbahasa Indonesia pertama yang dilancarkannya selepas tujuh tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Rasmi jadi ‘Pak Haji’, Afgan ke Makkah berbekal niat dan tekad

ARTIKEL BERKAITAN: Afgan pernah lalai, kembali dekat dengan Tuhan selepas bergelar haji

“Album ini ibaratnya saya kembali ke genre yang telah membesarkan nama saya, iaitu Indonesian Pop.

"Sudah lama saya tidak menghasilkan karya seperti ini. Jadi, Retrospektif terasa sangat tepat sebagai judul dan sebagai sebuah titik balik dalam kerjaya saya,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Afgan turut mengulas mengenai lokasi persembahan di Malaysia yang sudah dianggap sebagai rumah keduanya. 

"Selain di Indonesia, Malaysia memang sangat istimewa buat saya. Sokongan peminat di sini luar biasa dan saya ingin mereka turut merasai perjalanan baharu saya melalui album ini.

"Itu sebabnya saya mahu mengadakan showcase di Malaysia. Saya sangat teruja untuk berkongsi lagu-lagu baharu secara langsung buat kali pertama di sini," katanya. 

Sementara itu, penganjur etrospektif Showcase Afgan iaitu Renjana Idea, turut meluahkan rasa bangga dapat membawa Afgan kembali ke pentas Malaysia.

Tiket konsert sudah mula dijual sejak 1 Oktober lalu.

"Showcase Afgan Retrospektif ini sangat istimewa kerana ia bukan sekadar persembahan, tetapi juga sebuah refleksi perjalanan seni Afgan yang dekat di hati peminatnya.

"Kami yakin konsert ini akan memberi pengalaman yang penuh emosi dan bermakna, terutama buat peminat setia di Malaysia,” kongsinya. 

Tiket Afgan Retrospektif Showcase sudah mula dijual pada 1 Oktober lalu di laman web golive-asia bermula dengan harga RM358 sehingga RM1,398.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain