suria

[V] Amad didakwa kurang sopan, Siti Saerah mohon maaf... “Populariti buat dia agak terkejut”

PENYANYI Siti Saerah tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan anaknya, Ahmad Dayyan berkelakuan kurang sopan ketika menjawab soalan wartawan dalam sebuah temu bual baru-baru ini.

Saerah atau Siti Saerah Tarudin, 42, berkata, situasi yang berlaku adalah di luar jangkaan kerana anaknya itu masih dalam proses menyesuaikan diri dengan populariti yang datang secara tiba-tiba. 

Kata Saerah, dia sentiasa menasihati Ahmad atau lebih mesra disapa Amad agar tidak terlalu mempedulikan komen-komen negatif daripada netizen.

Saerah (kanan) mohon maaf bagi pihak anaknya.

"Di usia yang masih mentah dan mengecapi populariti membuatkan dia agak terkejut. Jadi mungkin mengambil masa sedikit untuk saya perbetulkan cara dia (bercakap). 

"Saya dah pesan supaya dia tak baca komen-komen netizen. Saya hanya menegur untuk dia belajar daripada kesilapan. 

"Saya tidak beri dia tekanan, saya tidak marah anak saya sebab nak tegur anak-anak pun ada cara. Insya-Allah saya tahu Amad adalah anak yang baik," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Balik rumah lewat, Amad tetap semangat ke sekolah... Siti Saerah tak mahu orang mengata belakang

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza puji persembahan Amad, tegur jangan terlalu selesa

Saerah berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media minggu ketujuh Talk To My Manager yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad. 

Dalam pada itu, Saerah turut meluahkan rasa terkilan apabila situasi sebenar ketika temu bual tersebut disalah tafsir selepas dikongsikan semula di media sosial sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen.

"Sebenarnya sedikit pun Amad tidak bermaksud seperti apa yang dia sampaikan (jawab soalan). Saya sebenarnya terasa juga dengan kata-kata netizen ini sebab situasi sewaktu sesi temu bual itu pun lain. 

Dalam usianya begitu dan mengecapi populariti membuatkan dia agak terkejut juga.

SITI SAERAH TARUDIN

PENYANYI/IBU AMAD

"Tapi bila dikeluarkan (kongsi di media sosial) jadi lain. Saya sedia menerima teguran dan akan menegur cara Amad menjawab soalan wartawan selepas ini. 

"Mungkin sedikit demi sedikit dia (Amad) akan belajar sebab Amad masih baru lagi," ujarnya. 

Tambah Saerah, dia juga percaya anaknya itu akan memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

"Hanya saya saja yang tahu macam mana karakter Amad. Bila dia bergurau, saya selalu pesan orang di luar sana tidak tahu cara kita. 

"Saya menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya cara anak saya ini (bercakap) membuatkan anda semua (netizen) tersinggung. 

Saerah mahu Amad belajar daripada kesilapan.

"Sebagai ibu, saya akan mendidik anak dengan lebih baik. Insya-Allah doakan supaya Amad lebih belajar daripada kesilapan dan peka dengan situasi sekeliling," katanya. 

Sebelum ini, timbul dakwaan apabila netizen menyifatkan cara Amad menjawab soalan bersama pengamal media sebagai kurang sopan. 

Malah, netizen turut membandingkan cara percakapan Amad dengan kakaknya iaitu penyanyi Umairah yang dikatakan lebih bijak berkomunikasi dan bersikap profesional. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain