suria

Selepas 12 tahun, Elly Arifin kembali ke konti radio... Kini penyampai segmen Morning Morning Suria

Segmen Morning Morning Suria memperkenalkan Elly (tengah) sebagai penyampai baharu.

PENGACARA dan pelakon, Elly Arifin kini kembali memeriahkan dunia penyiaran radio apabila diumumkan sebagai penyampai baharu segmen Morning Morning Suria di Suria FM bergandingan bersama duo popular, Fad Bocey dan Ajak Shiro.

Elly atau Nurul Elyana Kamalul Arifin, 35, berkata, kali terakhir dia menjadi penyampai radio adalah pada tahun 2013 dan menyifatkan tawaran diberikan Suria FM sebagai satu peluang untuk membuat kemunculan semula ke konti radio. 

"Saya dipilih sebagai penyampai radio ini menerusi sesi uji bakat. Bukan senang-senang dipilih melalui kabel.  Pihak Suria memberitahu nama saya terpilih sebagai senarai pendek.

Elly teruja dapat kembali semula ke konti radio.

"Saya juga diminta untuk buat 'test water' dengan penyampai Morning Morning Suria, kira macam uji bakatlah. Kali terakhir saya jadi penyampai pada tahun 2013 di Era FM. 

"Tak pernah terfikir untuk orang panggil semula masuk ke konti radio, jadi bila dapat tawaran ini saya cuba. Pada waktu itu, saya fikir kalau dapat atau tidak saya hanya berserah kepada rezeki," katanya kepada mStar. 

Menganggap peluang ini sebagai satu rezeki besar, Elly berasa teruja diberi kepercayaan untuk mengendalikan segmen pagi yang merupakan antara slot utama sesebuah stesen radio.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Morning-Morning Suria’ ada penyampai radio baru! Fad Bocey kini bergandingan dengan Ajak

ARTIKEL BERKAITAN: Suria FM kembali unggul sebagai radio nombor tiga, catat 3.3 juta pendengar sepanjang 2024

"Bagi saya ia adalah satu peluang kerana bukan semua dapat rezeki ini, lebih-lebih lagi untuk menggendalikan segmen pagi. Digandingkan pula dengan Fad dan Ajak, bukan calang-calang penyampai radio. 

"Saya rasa rugi kalau saya tolak peluang ini. Saya pun bukan tidak pernah berada dalam dunia radio, jadi kenapa tidak saya kembalikan semula pengalaman itu dan tambah kemahiran dalam bidang ini," ujarnya. 

Dalam pada itu, Elly mengakui dia perlu mengubah rutin harian dan lebih disiplin demi menyesuaikan diri dengan waktu siaran awal pagi.

Saya dipilih sebagai penyampai radio ini menerusi sesi uji bakat. Bukan senang-senang dipilih melalui kabel.

ELLY ARIFIN

PENYAMPAI RADIO

"Mulai daripada hari ini saya kena tukar rutin harian, tidur awal kerana pagi-pagi dah nak masuk konti ada tanggungjawab baru. 

"Tak pernah saya dapat peluang untuk bertugas dalam segmen pagi, bila ada tanggungjawab baru saya rasa ini adalah wawasan baru dalam hidup terutamanya dalam kerjaya. 

"Sekarang pukul 10 malam saya sudah tidur, dah jadi macam budak sekolah pula," jelasnya. 

Sementara itu, Ajak dan Fad menyambut baik kehadiran Elly dalam pasukan mereka dan menyifatkannya sebagai penyeri serta pelengkap kepada segmen tersebut.

"Saya rasa dengan kemasukan Elly, boleh membantu kami untuk bersembang tentang topik-topik melibatkan wanita. Kalau sebelum ini, Ajak dengan Fad agak terkepung sikit, bila nak sembang topik suami atau isteri siapa lebih rajin di rumah, mungkin kami akan bercakap bagi mewakili kaum lelaki. 

Dari kiri: Elly, Fad dan Ajak bakal menghiburkan pendengar di segmen Morning Morning Suria.

"Pagi tadi waktu kami bersiaran, ramai yang komen mengatakan mereka gembira dengan adanya kemasukan seorang penyampai wanita, sekurang-kurangnya boleh beri ruang kepada mereka untuk menyebelahi kaum wanita. 

"Saya harap pendengar akan terus menyokong Morning-Morning Suria dan semua segmen di Suria FM," katanya. 

Segmen Morning Morning Suria bersiaran pada setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 pagi hingga 10 pagi di Suria FM.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain