suria

Tisu bahu Ardell koyak, suami minta henti sebar gambar bukan-bukan 

Nadzmi memohon orang ramai tidak berkongsi sebarang foto berkaitan Ardell (kanan).

PELAKON Ardell Aryana dilaporkan turut mengalami kecederaan pada bahu selepas menjadi mangsa kekasaran tentera Israel yang menumbuk muka dan menarik rambutnya dengan kasar.

Menurut suaminya, Nadzmi Adhwa, tisu bahu Ardell koyak akibat kejadian tersebut.

"Ada lagi kecederaan pada bahu Ardell! Bahu dia koyak! Allahuakbar! Apa ini," luahnya menerusi perkongsian di Threads malam tadi.

Perkongsian Nadzmi di Threads miliknya.

Sementara itu, abang kepada Ardell dikenali sebagai Ayib memaklumkan keadaan kesihatan adiknya kini kurang baik dan sedang menerima rawatan.

Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin kini berada di bawah pemantauan rapi selepas mengalami kecederaan fizikal akibat kekasaran tentera Israel. 

"Keadaan Ardell tidak berapa okay. Dia sedang dirawat. Badannya lebam-lebam dan tisu bahunya koyak. Doktor hendak periksa darah pun tidak dapat sebab darah tak keluar.

ARTIKEL BERKAITAN: Nadzmi Adhwa ‘naik hantu’, dakwa isteri ditumbuk dan dikasari sewaktu dalam tahanan… “Rupanya di hospital sekarang”

ARTIKEL BERKAITAN: Ada kemungkinan tudung Ardell Aryana turut dirampas tentera Israel… “Cuba perhati hijabnya”

"Ardell diberi 'drip' dan dimasukkan ubat," katanya.

Dalam pada itu, Adhwa meminta orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang foto berkaitan isterinya bagi mengelakkan sebarang fitnah. 

"Minta masa dan doa sahaja untuk isteri saya. Tolong jangan keluarkan gambar yang bukan-bukan. Boleh tak kita tunggu Ardell balik? 

Ardell dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian bahu.

"Saya mohon jasa baik. Kalian sangat baik mendoakan dan ambil berat. Terima kasih untuk itu,"katanya. 

Malam tadi, Adhwa meluahkan rasa geram apabila mendapat tahu isterinya didakwa ditumbuk oleh tentera Israel sewaktu berada dalam tahanan.

Semalam, Ardell dan seorang lagi aktivis kemanusiaan dari Malaysia, iaitu Haikal Abdullah yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF), dilaporkan dihantar ke sebuah hospital di Istanbul untuk menerima rawatan lanjut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain