suria

“Berjuta ringgit dibelanja, tapi kita tak hargai” - Erma Fatima minta calon Top 5 FFM34 hadir ke malam kemuncak

Erma menyeru agar penggiat seni yang tercalon hadir pada malam kemuncak FFM34.

PENGARAH dan penerbit Erma Fatima menyeru pelakon dan penggiat seni yang tercalon Top 5 di Festival Filem Malaysia ke-34 hadir memeriahkan  malam kemuncak acara berprestij itu. 

Erma atau Fatimah Rahmad Ali, 57, meluahkan harapannya agar mereka yang berada dalam senarai pencalonan 5 terbaik tidak mengambil ringan penganjuran acara berkenaan. 

"Kalau yang tercalon Top 5 ini tak pergi juga FFM nanti tak tahulah aku nak cakap apa lagi. 

Perkongsian Erma di Threads miliknya.

Perkongsian Erma di Threads miliknya.

"Aku masih ingat kata-kata arwah Primadona Azean Irdawaty pada aku satu ketika dulu.

"Berjuta ringgit orang berhabis untuk buat FFM bagi meraikan insan seni tapi kalau orang seni sendiri tak hargai, siapa lagi nak hargai?," katanya. 

Erma berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads miliknya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Blood Brothers: Bara Naga raih 13 pencalonan di FFM34

ARTIKEL BERKAITAN: FFM34 iktiraf filem genre aksi, pemenang bakal bawa pulang RM5,000

Dalam pada itu, Erma turut meluahkan rasa teruja dengan ganjaran diberikan oleh pihak FFM34 yang menawarkan geran sebanyak RM1 juta bagi pemenang kategori Filem Terbaik. 

Tambahnya, dia juga berterima kasih kepada Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) kerana memberi penghargaan kepada insan-insan seni yang masih hidup menerusi segmen tribute.

"Tahun ini kategori Filem Terbaik dapat geran berjumlah RM1 juta. Terima kasih Finas dan aku paling sebak ada segmen tribute pada insan seni yang masih hidup. Terima kasih," ujarnya. 

Pemenang kategori Filem Terbaik bakal menerima geran bernilai RM1 juta.

Pemenang kategori Filem Terbaik bakal menerima geran bernilai RM1 juta.

Pada malam Isnin, filem Blood Brothers: Bara Naga mendapat pencalonan terbanyak sempena penganjuran FFM34 dengan 13 pencalonan dalam 11 kategori. 

Antara filem lain yang turut mendapat pencalonan terbanyak adalah Takluk: Lahad Datu (12 pencalonan), Soloz: Game Of Life (11 pencalonan) dan Kahar: Kapla High Council (10 pencalonan). 

FFM34 yang mengangkat tema Karya Kreatif, Sinema Dinamik bakal berlangsung pada 1 November ini di Angkasapuri , Kota Media, Kuala Lumpur dan disiarkan secara langsung di TV2.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain