SUASANA di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1) bertukar cemas apabila pelakon Ardell Aryana tiba-tiba rebah sebaik selesai sidang media menyambut ketibaan aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) malam Selasa.
Ardell atau Nur Hidayah Mohd Amin, 35, dilihat pucat dan tidak bermaya sebelum jatuh ketika mengendong anak perempuannya menuju ke bas yang menunggu di luar bangunan ketibaan.
Kejadian berlaku di tengah-tengah lautan penyokong yang hadir memberikan sokongan kepada para sukarelawan, menyebabkan suasana di lokasi bertukar panik seketika.
Ardell dan 22 sukarelawan GSF selamat tiba di tanah air pada pukul 11.20 malam.
Beberapa polis bantuan dan petugas keselamatan segera menghulurkan bantuan bagi membantu Ardell yang hampir tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke tempat duduk berhampiran untuk berehat.
Suaminya iaitu pelakon Nadzmi Adhwa yang berada tidak jauh dari situ dilihat bergegas kelihatan arah isterinya sebaik menyedari kejadian tersebut.
Dalam keadaan cemas, Nadzmi terus melihat keadaan Ardell dan menenangkan anak mereka sambil dibantu beberapa individu berhampiran.
ARTIKEL BERKAITAN: Sebak! Nadzmi Adhwa sambut Ardell dengan air mata selepas hampir dua bulan tidak bertemu
ARTIKEL BERKAITAN: Ada kemungkinan tudung Ardell Aryana turut dirampas tentera Israel… “Cuba perhati hijabnya”
Sebelum insiden berlaku, Ardell sempat berucap mewakili aktivis wanita pada sidang media khas bersama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi meraikan kepulangan 23 sukarelawan Malaysia yang baru dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis.
Difahamkan Ardell berkemungkinan mengalami keletihan melampau selepas melalui perjalanan panjang dari Istanbul, Turkiye selain kekangan rehat sepanjang misi kemanusiaan yang menuntut kekuatan fizikal dan emosi.
Kesemua 23 delegasi Malaysia tiba di tanah air sekitar jam 10.13 malam selepas dibebaskan oleh tentera Israel pada Sabtu lalu.
Mereka ditahan sejak 2 Oktober ketika menyertai misi menghantar bantuan ke Gaza.
Antara yang turut bersama dalam rombongan itu ialah Zizi Kirana, Datin Seri Heliza Helmi dan Hazwani Helmi bersama hampir 500 sukarelawan antarabangsa dari seluruh dunia.
Kepulangan mereka disambut penuh emosi oleh ribuan rakyat Malaysia di KLIA 1 dengan laungan takbir dan “Free Palestine”, tanda solidariti terhadap perjuangan mereka membawa mesej kemanusiaan buat rakyat Gaza.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube