SELEPAS hampir dua bulan terpisah, pelakon Yusuf Bahrin akhirnya kembali bertemu dengan isterinya iaitu penyanyi Zizi Kirana yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Memeluk isterinya dengan penuh rasa rindu, Yusuf, 33, menzahirkan kesyukuran apabila Zizi dan pasukan sukarelawan Malaysia akhirnya tiba dengan selamat selepas menempuh pelbagai dugaan sepanjang misi kemanusiaan tersebut.
Malah, Yusuf memberitahu dia sudah menyediakan kejutan istimewa buat Zizi sebaik mereka tiba di rumah nanti.
Yusuf menyambut kepulangan Zizi di KLIA 1.
“Alhamdulillah saya dah jumpa Zizi tadi. Saya kata jumpa kat rumah nanti ada kejutan.
“Lepas ini terus balik rumah, insya-Allah. Apapun saya ucapkan terima kasih banyak buat mereka yang hadir beri sokongan pada malam ini,” katanya kepada mStar
Yusuf berkongsi perkara itu ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA 1) pada malam Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: “Baju bahagian dalam saya digunting” - Zizi Kirana
ARTIKEL BERKAITAN: “Srikandi kita telah kembali” - ramai teruja Zizi Kirana beri salam di Threads
Zizi merupakan salah seorang daripada 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi GSF iaitu usaha antarabangsa membawa mesej kemanusiaan dan solidariti buat rakyat Palestin.
Kesemua peserta dari Malaysia dibebaskan pada Sabtu lalu selepas ditahan rejim Zionis di perairan antarabangsa.
Mereka kemudiannya diterbangkan dari Lapangan Terbang Ramon di Israel ke Istanbul, Turkiye sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.
Ketibaan mereka disambut penuh emosi apabila lebih 2,000 penyokong memenuhi ruang ketibaan KLIA 1 sambil melaungkan takbir dan sorakan “Free Palestine”.
Turut kelihatan di lokasi ialah pelakon Nadzmi Adhwa bersama dua anaknya yang menanti kepulangan isteri tercinta, Ardell Aryana selain Datin Seri Heliza Helmi dan Hazwani Helmi yang turut pulang dalam rombongan sama.
Misi yang disertai hampir 500 aktivis dari pelbagai negara itu menjadi lambang keberanian dan keteguhan semangat rakyat Malaysia dalam memperjuangkan hak kemanusiaan Palestin di mata dunia.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube