AHLI kumpulan Floor 88, Eric Fuzi menyangkal dakwaan kononnya menolak tawaran persembahan anjuran kerajaan seperti yang didakwa segelintir netizen.
Menurut Eric atau Muhamed Eric Muhamed Fuzi, 33, tuduhan berkenaan tidak benar sama sekali dan disifatkan sebagai satu salah faham yang menjejaskan reputasi kumpulan itu.
“Siapa cakap kami tak ambil show kerajaan? Kenyataan itu macam kami anti kerajaan pula.
“Ini kali pertama kami dengar sebenarnya. Sebagai selebriti, tugas kami adalah menghiburkan orang tanpa mengira fahaman politik. Undi pun rahsia, jadi tak timbul isu kami memilih pihak tertentu.
Floor 88 hanya tola tawaran yang menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia.
“Kami cuma buat kerja kami sebagai penghibur. Bagi menjawab soalan ini kami memang tak pernah tolak show kerajaan. Malah banyak kali kami turun padang menjayakan program anjuran agensi dan kementerian,” katanya kepada mStar.
Eric berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media Pra Pelancaran MARA Automotive Ecosystem 2025 (Matec 2025) yang diadakan di Ideas Hotel, Kuala Lumpur pada Selasa.
Berkongsi lanjut, Eric menjelaskan Floor 88 hanya menolak tawaran persembahan yang tidak selari dengan nilai dan prinsip kumpulan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Floor88 tak sangka ditipu kawan baik, bekas pengurus tergamak songlap duit ‘show’
ARTIKEL BERKAITAN: Duit faktor Floor 88 masih kekal sebagai kumpulan, banyak ambil nasihat artis lama
“Kami hanya menolak tawaran yang melibatkan unsur judi, alkohol atau perkara yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia.
“Setakat ini, Alhamdulillah imej kami masih baik dan sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Itu yang kami cuba kekalkan sejak awal,” ujarnya.
Dalam pada itu, Eric turut menegaskan Floor 88 sentiasa menyokong inisiatif kerajaan termasuk dalam bidang pembangunan seni dan ekonomi kreatif.
Eric (kanan) ketika hadiri majlis pra-pelancaran Matec 2025.
“Kami sentiasa beri sokongan penuh pada kerajaan. Kalau tidak takkanlah kami akan buat persembahan di Matec 2025 ini pula.
“Malah minggu ini sahaja kami ada dua persembahan yang melibatkan projek kerajaan. Jadi, dakwaan kami menolak show kerajaan itu memang tak betul langsung,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Matec 2025 akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil selama tiga hari bermula 31 Oktober ini.
Selain Floor 88, artis tanah air yang bakal membuat persembahan ialah Black Hanifah dan kumpulan XPDC Peng-Yu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube