suria

Bukan satu kegagalan tapi permulaan, Heliza dan Hazwani anggap misi GSF pencetus kebangkitan dunia

Heliza dan Hazwani anggap misi GSF tidak gagal.

PENYANYI dan aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi menganggap 7 Oktober 2023 bukan sekadar tarikh dalam kalendar, sebaliknya detik bermakna yang menjadi peringatan untuk terus memperjuangkan nasib rakyat tertindas di bumi Palestin.

Selain menzahirkan rasa syukur atas peluang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Heliza, 39, menegaskan misi itu bukan sekadar membawa bekalan, tetapi menyemai harapan. 

“Kalau ikutkan tarikh hari ini (7 Oktober), dua tahun lepas adalah ulang tahun serangan yang berlaku di Gaza. Kita dah solat hajat, hantar bantuan melalui darat dan kali ini Allah izinkan kami untuk bersama dalam misi flotila.

Heliza dan Hazwani selamat tiba di tanah air pada malam Selasa.

“Ini bukan penamat, tapi pencetus berterusan untuk kita buka kepungan di Gaza. Kita lihat sekarang, satu dunia mula bangkit antaranya di Portugal, Sweden dan banyak lagi negara luar yang mana rakyat mereka bangkit menzahirkan sokongan.

“Semoga selepas ini Allah izinkan pintu Rafah dibuka dan bantuan dapat masuk tanpa sekatan lagi,” katanya kepada mStar.

Sementara itu, Hazwani yang turut serta dalam misi sama melihat penyertaan mereka bukan kegagalan, sebaliknya permulaan kebangkitan umat Islam dalam menyokong Palestin.

Malah kata Hazwani, ia menjadi mesej jelas kepada rejim Zionis bahawa tekanan dunia semakin kuat terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Palestin.

ARTIKEL BERKAITAN: Dilayan macam binatang, Hazwani Helmi saksi kekejaman rejim Zionis depan mata

ARTIKEL BERKAITAN: Heliza dan Hazwani Helmi pula ditahan tentera Israel

“Bagi saya misi ini tidak gagal. Ia permulaan di mana kita sudah menekan rejim Zionis. Mereka sendiri akui kekuatan zaman sekarang adalah media sosial dan kini mereka rasa tertekan.

“Bayangkan selepas 108 tahun Perjanjian Balfour, akhirnya United Kingdom memberi pengiktirafan kepada Palestin. Ia adalah hasil tekanan dunia dan mudah-mudahan negara lain akan ikut,” ujarnya.

Dalam masa sama, Hazwani turut berkongsi satu peristiwa yang memberi kesan kepadanya sewaktu dipindahkan ke dua sel tahanan berasingan bersama aktivis antarabangsa. 

Katanya, dia menyaksikan sendiri keberanian aktivis dari Eropah yang sanggup mengambil langkah luar biasa demi memperjuangkan keadilan.

Heliza dan Hazwani ketika berada di atas kapal menuju ke Gaza.

“Saya dipindahkan ke dua sel dan satu perkara yang sangat menyentuh hati apabila ada aktivis dari Eropah yang sanggup tak tandatangan surat pembebasan segera semata-mata nak beri tekanan kepada kerajaan mereka sendiri.

“Ada yang bukan Islam tapi semangat mereka untuk bebaskan Palestin luar biasa. Itu buat saya terharu,” katanya.

Untuk rekod, Heliza dan Hazwani merupakan sebahagian daripada hampir 500 aktivis antarabangsa dari pelbagai negara termasuk Turkiye, Sepanyol, Sweden, Mexico dan Brazil yang menyertai pelayaran flotila bagi membawa mesej kemanusiaan serta bantuan simbolik untuk rakyat Palestin.

Bagaimanapun, kapal mereka telah dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa sebelum semua peserta ditahan selama beberapa hari di penjara sementara di wilayah Israel. Mereka kemudiannya dibebaskan dan diterbangkan ke Turkiye sebelum pulang ke Malaysia.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain