PELAKON dan model Zahnita Wilson berkongsi laporan kesihatan yang dikeluarkan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang di media sosial miliknya pada Jumaat.
Tindakan itu dipercayai sebagai respons kepada bekas rakan kongsinya dikenali sebagai Nur Hanisah yang mendakwa Zahnita tidak pernah dikasari suaminya.
Menerusi laporan dikeluarkan pada 7 Mei 2024, Zahnita didapati mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka termasuk bengkak pada bawah kelopak mata kiri selain kesan lebam berukuran 2x1 sentimeter.
Laporan pemeriksaan yang dikongsi oleh Zahnita di Instastory miliknya.
Turut dinyatakan dalam laporkan berkenaan adalah terdapat kesan lebam pada bahagiah bawah telinga kiri Zahnita berukuran 3x1 sentimeter.
Dalam laporan sama, turut dinyatakan kronologi kejadian Zahnita mengalami keganasan rumah tangga yang berlaku pada 7 Mei 2024.
Menerusi hantaran berbeza, Zahnita berkongsi perbualan WhatsApp bersama peguam memaklumkan pihak pembelaan mahu memfailkan representasi menggugurkan atau meminda akta bagi tuduhan kes keganasan rumah tangga.
ARTIKEL BERKAITAN: Zahnita tak pernah dipukul suami, bekas rakan kongsi dedah sikap sebenarnya
ARTIKEL BERKAITAN: “Dah 20 tahun saya bertahan, cukuplah” - Zahnita
Kes itu akan disambung semula untuk proses dokumentasi pada 14 Mei 2025.
Sementara itu, usaha mStar untuk mendapatkan kenyataan daripada Zahnita tidak berjaya kerana dia enggan mengulas lanjut berhubung isu tersebut.
Sebelum ini, Hanisah mendedahkan sikap sebenar Zahnita yang didakwa sengaja mereka cerita berkaitan hal rumah tangga bersama suami iaitu Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor.
Menurut Hanisah, kisah Zahnita dianiaya oleh suaminya adalah tidak benar.
Malah Hanisah juga menganggap Abdul Zackery adalah orang yang sentiasa memberi sokongan terhadap isteri.
Zahnita sebelum ini mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Pada 2 Disember tahun lalu, Zahnita berkongsi foto di Instagram memaparkan bahagian mata kirinya dalam keadaan lebam.
Menerusi temu bual bersama mStar, aktres berkenaan tidak berdolak-dalik mengenai punca matanya lebam dan mendakwa dia dibelasah oleh suami sendiri.
Pada 4 Disember 2024, Zachery didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas dua tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isteri dan dadah.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!