suria

Nora Ariffin akhirnya tuntut cerai

Nora nekad memfailkan cerai terhadap suaminya pada 21 April ini.

PENYANYI Datuk Nora Ariffin tekad memfailkan cerai terhadap suaminya iaitu Dr Rushdi Ramli.

Nora atau Wan Norafizah Ariffin, 53, berkata, keputusan itu dibuat selepas terdapat campur tangan pihak ketiga sehingga perkahwinan mereka tidak lagi dapat diteruskan dengan aman.

Susulan itu, Nora bakal memfailkan penceraian tersebut pada 21 April ini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor.

Nora akhirnya tekad berpisah dengan suami.

Nora memberitahu keputusan bercerai adalah demi kebaikan semua pihak. 

"Dengan dukacita, saya bertekad membuat keputusan untuk memfailkan permohonan perceraian terhadap suami saya, Dr Rushdi.

"Hal ini berikutan wujudnya campur tangan pihak ketiga sehingga perkahwinan kami tidak lagi dapat diteruskan dengan aman.

"Malah, turut memberi kesan kepada keselamatan saya sehingga membawa kepada pengabaian," katanya kepada mStar menerusi kenyatan media pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Nora akhirnya dedah kemelut dengan keluarga madu, tuntut 4 perkara daripada anak tiri

ARTIKEL BERKAITAN: Mahu penuhi permintaan anak tiri, Nora sampai pujuk suami minta diceraikan

Dalam pada itu, Nora berkata, semua usaha memulihkan rumah tangga mereka telah melalui pelbagai peringkat termasuk sesi pertemuan dan perbincangan bersama pihak-pihak namun gagal mencapai penyelesaian.

Malah kata Nora, isu itu turut menjejaskan keselamatan serta merosakkan reputasinya sebagai  seorang artis yang telah bergiat sekian lama dalam industri muzik.

"Atas faktor keterdesakan dan kebaikan semua pihak, saya tetap bersama keputusan saya bagi meneruskan tindakan perceraian ini," ujarnya.

Nora dan suami berkahwin pada 2021.

Isu rumah tangga pasangan ini mula mendapat perhatian apabila pada 12 Ogos tahun lalu, muncul video memperlihatkan Rushdi menceraikan Nora dengan talak satu menerusi rakaman video berdurasi 52 saat.

Video itu dimuat naik sendiri oleh Nora menerusi Instagram miliknya dan mendakwa ada pihak memaksa Rushdi memaksa lafaz cerai itu dibuat terhadapnya.

Bagaimanapun selepas sebulan mengumumkan penceraian itu, Nora memaklumkan dia dan Rushdi sudah kembali rujuk.

Pada 23 Februari 2025, Nora mendedahkan dia sudah 10 kali meminta Rushdi menceraikannya susulan mendapat desakan daripada isteri pertama dan anak tirinya.

Usaha Nora berdamai bersama keluarga madu tidak berhasil.

Penyanyi lagu Desa Tercinta ini mendakwa usaha untuk berbaik dan berdamai dengan madu serta ahli keluarga tidak berhasil walaupun diuruskan oleh Rushdi sendiri. 

Malah pada 19 Mac lalu Nora memberi bayangan bakal memfailkan cerai terhadap suaminya selepas bekongsi foto berada di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat.

Sementara itu, madunya iaitu Rose Aliza Sutrisno dalam satu kenyataan panjang di Facebook menyangkal dakwaan dia dan anak perempuannya memaksa Rushdi menceraikan penyanyi berkenaan.

Rushdi sentiasa tampil membela Nora.

Jelasnya keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan suaminya sendiri dan bukan sebab didesak mereka seperti dakwa Nora.

Namun Rushdi menegaskan kenyataan yang dikeluarkan isteri pertama adalah satu fitnah dan terdapat desakan daripada isteri pertama dan anaknya agar dia menceraikan Nora.

Nora mengumumkan perkahwinannya dengan Rushdi pada 3 Disember 2021 namun tidak memperincikan butiran mengenainya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain