STATUS perkahwinan penyanyi Kaka Azraff sekali lagi menjadi tanda tanya apabila didakwa berdepan kemelut rumah tangga bersama suami iaitu Adam Azriff.
Enggan memberi komen lanjut, Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff, 36, berkata dia tidak berani untuk memberi sebarang kenyataan memandangkan tiada kepastian mengenai perkara itu.
"Sebenarnya saya bukan nak mengelak, saya pun menghormati rakan media dan netizen yang ingin tahu tentang hal rumah tangga saya.
"Cuma sekarang ini untuk saya beri kenyataan, benda pun tidak ada yang nyata lagi jadi saya tak mahu bercakap lebih lanjut.
Kaka mohon doa yang terbaik daripada kenalan dan peminat.
"Apa yang saya boleh katakan sekarang, saya mohon doa daripada semua. Doakan yang terbaik untuk saya, anak-anak dan Adam (suami)," katanya kepada mStar.
Kaka berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran Galeri Rockqueen yang diadakan di Denai Alam, Selangor pada malam Rabu.
Pun begitu, penyanyi lagu Bukan Hal Aku ini tidak menolak untuk berkongsi kepada umum sekiranya sudah mempunyai pengesahan tentang perkara itu.
Kongsi Kaka, dia tidak melarikan diri daripada menjawab persoalan tentang kemelut keluarga dan berharap orang ramai dapat menghormati keputusannya itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Muat naik foto mesra bersama, bekas suami luah kata-kata romantis buat Kaka Azraff... Peminat gembira jika benar sudah rujuk
ARTIKEL BERKAITAN: Fasa kritikal perkahwinan sudah berlalu, Kaka Azraff kembali bahagia di sisi suami
"Hal ini melibatkan ramai orang. Saya tidak melarikan diri, cuma sedang menjaga banyak hati.
"Saya rasa kalau saya buka cerita ini (kisah keluarga) boleh mendatangkan fitnah. Jadi saya harap menghormati keputusan saya untuk tidak lagi berkongsi apa-apa.
"Alhamdulillah saya bahagia disamping anak-anak dan keluarga. Sekiranya ada pengesahan tentang status saya selepas ini, mungkin saya akan kongsikan untuk mengelakkan fitnah," ujarnya.
Situasi pun tidak ada yang nyata lagi jadi saya tak mahu bercakap lebih lanjut.
KAKA AZRAF
PENYANYI
Sementara itu, Kaka memberitahu untuk menyelami perasaan dan kisah yang dilalui, dia meluahkan rasa menerusi lagu-lagu dalam album baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
"Selepas ini anda mungkin boleh selami hati saya menerusi lagu-lagu dalam album terbaharu nanti.
"Buat masa ini saya sudah merakamkan enam buah lagu dan kesemuanya adalah luahan hati dan apa yang saya lalui.
"Kebanyakan lagu ditulis oleh saya sendiri dan ceritanya adalah sangat dekat dengan diri saya," katanya.
Status rumah tangga Kaka (kanan) dan suami menjadi tanda tanya ramai pihak.
Untuk rekod, Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Aslan, 6, Aryan, 4 dan Atta Adam yang kini berusia setahun.
Difahamkan, pasangan ini sah bercerai talak satu dan pengesahan tersebut dibuat secara ekspres di Mahkamah Syariah, Shah Alam pada 28 Oktober tahun lalu.
Namun pada Januari lalu, Kaka dan Adam kembali rujuk sebagai suami isteri.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube